Pages

Friday, June 26, 2009

Satu Peringatan : Ulama Di Zaman Imam Ahmad Sentiasa Ada

Semasa pemerintahan Khalifah Al Ma'mun, fahaman Mu'tazilah banyak mempengaruhi pandangan khalifah. Fahaman muktazilah ini pula banyak terpesong daripada fahaman tradisional Islam. Ketika itu, fahaman muktazilah mempersoalkan asal usul tauhid dan berpegang kepada fahaman bahawa Al-Quran adalah ciptaan manusia dan tidak kekal abadi.

Oleh kerana mendapat sokongan dan naungan Khalifah Al Ma'mun. Pihak Mu’tazilah melancarkan Mihna untuk menyaring ulama yang enggan berpegang kepada fahaman yang dibawa oleh kumpulan mereka.

Ramai ulama Islam pada ketika ini yang berpegang dengan fahaman Al Quran itu qadim telah bertukar pendirian apabila disuruh, didesak dan dipaksa oleh Khalifah Al Ma'mun. Pendirian Imam Ahmad bin Hanbal diuji tentang ini. Imam Ahmad bin Hanbal berkeras enggan memberikan persetujuan kepada fahaman yang dibawa oleh Muktazilah dan tetap bertegas Al Quran itu Qadim. Peluang ini diambil oleh ulama-ulama muktazilah yang sekian lama membenci Imam Ahmad lalu mendesak Khalifah Al Ma’mum mengambil tindakan.

Khalifah al-Ma'mun menghukum Imam Ahmad dengan memenjarakannya dan memukulnya dengan teruk di penjara. Sepanjang dipenjara, Imam Ahmad sentiasa dikunjungi oleh sahabat-sahabatnya dari kalangan ulama yang telah menerima fahaman Mu’tazilah dan mendapat keamanan daripada khalifah Al Ma’mum. Mereka silih berganti melawat disamping memujuk dan menasihati Imam Ahmad supaya berlembut dengan khalifah dan mengikut apa yang disuruh. Kalau Imam Ahmad tak mampu ucapkan cukup dengan menulis nota, Al- Quran itu ciptaan dan tidak kekal. Namun Imam Ahmad dengan penuh ketegasan menjawab “Seandainya aku mengaku hari ini memang aku selamat, tapi beribu pengikut ku diluar sana akan sesat. Andai aku tak mengaku, hanya aku yang kena tetapi beribu pengikut ku selamat.” Inilah ketegasan jawapan Imam Ahmad yang menamatkan usaha sahabat-sahabatnya untuk memujuk supaya imam Ahmad bekerjasama dengan Khalifah.

Disini bukan soal kehebatan Imam Ahmad yang nak dikongsi, akan tetapi tentang ulama-ulama seumpama sahabat Imam Ahmad yang sentiasa ada disetiap zaman sehinggalah sekarang. Ulama sebegini tidak mampu menghadapi sedikit mihna dan tekanan samada dari pemerintah atau apa sahaja. Mereka sanggup menggadaikan perjuangan dan fahaman untuk memastikan kedudukan tidak tergugat.

Sekarang ada Ulama bertaraf Mufti sanggup merayu kepada seorang ulama yang lain supaya dapat berkerjasama dengan pemerintah sekular demi kepentingan bangsa. Merayu ulama yang lain supaya menerima kerajaan perpaduan. Malahan mufti ini sanggup mencerca ulama yang lain dengan sesat kerana tidak mahu mengikut nasihatnya dan tidak mahu bersekongkol dengan pemerintah.

Dengan tegas ulama yang dirayu menjawab, buka soal bangsa tetapi soal agama yang mesti dipertahankan. Bukan soal kerajaan perpaduan tetapi soal bagaimana nak mempertahankan perpaduan. Ada juga ulama yang lain, menjadi penasihat kepada kerajaan dengan mengiyakan segala kemungkaran dan kebejatan. Akhirnya dia yang sesat itu kemudiannya menyesatkan ramai orang. Tak ubah seperti golongan muktazilah.

Semoga SS Tan Sri Mufti dapat menginsafi diri bahawa, dia adalah seorang mufti dan dia bertanggungjawab dengan hal ehwal agama. Janganlah kedudukan yang mulia ini dicemari dengan sedikit habuan dan kepentingan dunia. Setidak-tidakpun sebagi seorang mufti beliau mesti Tegas dan Istiqamah dengan pegangan dan perjuangan. Kalau Jom Heboh itu haram, maka pertahankan pandangannya itu. Jangan hanya haram ditempat lain tetapi halal ditempat sendiri.

Sekian Wassalam…

Thursday, June 25, 2009

Rejab : Pengertian Dan Peristiwa Penting Padanya

Pengertian

Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan
mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj.


Peristiwa Penting

1.Hijrah Pertama Hijrah ke Habsyah (Ethiopia)
Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk
menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Isra' dan Mi'raj
Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT. Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17 RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.

Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 RabiulAwal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari semuanya itu. Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu.(Tazkirah, Pusat Zakat N. Sembilan)

3. Perang Tabuk
Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan
30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.



4. Pembebasan Baitul-Muqaddis
Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafie RH.
Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.

Monday, June 22, 2009

Manisnya Syura Dalam Berjemaah.

Semuanya telah selesai. Tiada lagi perbincangan tentang kerajaan perpaduan. Inilah nikmatnya berada dalam jemaah Islam. Musyawarah yang diadakan dengan penuh semangat kekeluragaan dan berlapang dada, dapat menyelesaikan semua kekusutan. Begitulah mansinya nilai Syura dalam berjemaah. Adab yang satu ini kena sentiasa dipraktikkan dan amalkan bukan hanya peringkat kepimpinan tertinggi tetapi kepada semua lapisan. Keputusan berseorangan atau kelompok tertentu akan menimbulkan kedinginan pada diri ahli yang ramai.

Apa itu Syura? Syura dengan maksud musyawarah untuk mencapai kepeutusan menurut suara terbanyak. Sirah telah meninggalkan satu gambaran yang jelas kepada kita, bahawa Nabi Muhammad dalam setiap peperangan akan sentiasa bermusyawarah dengan para sahabat dalam mengatur strategi peperangan. Kadang-kadang keputusan awal yang dibuat oleh Nabi s.a.w pernah dibantah oleh para sahabat, dan cadangan daripada sahabat pula diterima. Nabi sebagai seorang nabi Ululazmi yang maksum, sebagai al mustafa mukhtar tidak pernah menggunakan kuasa yang ada padanya dalam membuat keputusan malahan baginda memperaktikkan syura dalam sepanjang pentadbirannya di madinah. Sebab itu para sahabat sangat sayang dan cintakan baginda. Tidak ada suara yang marah dan tidak puas hati kepada baginda. Bagitulah manisnya syura dalam berjemaah.

Apa Pentingnya Syura Dalam Jemaah?

1. Syura salah satu prinsip penting dalam ajaran Islam yang sangat ditekankan oleh Allah s.w.t, kerana hal ini merupakan bahagian yang sangat penting dari ukhwah Islamiyyah dan ukhwah merupakan salah satu bukti dari iman.

2. Syura merupakan jalan tengah dari segala perbezaan pendapat. Menjadi perinsip pengimbang antara kehendak individu dengan kehendak bersama.

Kaedah-kaedah Syura

1. Lemah lembut, bersikap baik dalam ucapan mahupun perbuatan

2. Bersedia memaafkan perkara-perkara buruk yang dilakukan sebelumnya, dengan kata lain
orang yang bermusyawarah mesti menyiapkan mental dengan sifat pemaaf supaya tidak
timbul soal kata mengata.

3. Berpusatkan kebenaran, kerana sesudah musyarawah dilaksanakan, keputusan-keputusan
yang diambil harus dijalankan dalam rangka ketakwaan kepada Allah.

4. Memohon ampun bila melakukan kesalahan. Menarik balik sesuatu pendapat yang salah
walaupun dipersetujui oleh syura dan kemudian memohon maaf.

5. Bertawakkal kepada Allah setelah musyawara selesai.

Hikmah Syura

1. Keputusan yang diambil lebih sempurna.

2. Masing-masing merasa bertanggungjawab terhadap keputusan musyawarah dandipraktiskan.

3. memperkukuhkan hubungan persaudaran diantara anggota jemaah dan saling hormat
menghormati.

4. Dapat menghindari terjadinya dominasi mejoriti dan tirani menoriti. Ini kerana musyawarah
mengambil keputusan atas prinsip kebenaran buka semata-mata mejoriti.

5. Dapat dihindari adanya hasutan, fitnah dan adu domba yang dapat memecah belahkan barisan
pakatan rakyat.

Itulah serba sedikit berkenaan manisnya syura dalam jemaah. Perbincangan sentiasa dibuat, keputusan diterima dan tindakan diambil oleh semua pihak. Jangan bersendirian dalam membuat keputusan yang akhirnya akan menyebabkan ahli menjauhkan diri dari kita dan lebih malang lagi mereka langsung meninggalkan perjuangan suci ini dengan sebab kita.

Wallahua'lam

Thursday, June 4, 2009

Berita Kemalangan Ayahnda Tercinta

Malam ini, sedang asyik melayari internet untuk melihat siaran langsung forum perdana di tapak muktamar ke55, tiba-tiba diri ini disentak dengan deringan telefon usang. Sudah la siaran langsung tak dapat tengok, telefon pula ganggu. Tengok nama yang tertera adalah nama salah seorang adik di kampung. Hati mula berdebar dan jantung berdegup kencang.
"kenapa pula malam begini telefon."
Bila diangkat rupa-rupanya apa yang dirisaukan betul berlaku. Adik dalam tangisan menyatakan ayahnda tercinta kemalangan. sekarang tak sedarkan diri.
"oh! ujian apa pula ini? diri ini tergamam sebentar. kelu dan kaku. kuatkan juga langkah kedepan isteri tersayang untuk menyampaikan berita. Dengan nada bergetar dan sedikit tangisan diri ini mengumpulkan kekuatan untuk menyatakan berita yang baru diterima. Mendengar berita isteri juga terkedu.
Yang terpancul spontan dimulut kami, "ya Allah! selamatkan ayahnda tercinta". Di kejauhan ini itu sahaja yang mampu kami ungkapkan. Hanya Allah tempat mengadu dan memohon belas ihsan. Dengan sedikit kekuatan yang masih berbaki diri ini melangkah mengambil wuduk untuk tidak lain melainkan menambahkan lagi munajat kepada Allah. Solat taubat dan hajat dikerjakan dan tangan ditadah memohon Allah selamatkan Ayahnda tersayang. Rupanya manusia perlu diuji dan dengan ujian itu bila sahaja menyebut, Allah! air mata mengalir menandakan dengan ujian tersebut baru kita yakin kekuasan Allah. Selepas itu bacaan yasin dialunkan dalam nada tangis dan sayu sambil ingatan menerawang mengingati kembali kenangan indah bersama Ayahnda tersayang.
Beginilah suasananya bila duduk berjauhan yang dipisahkan oleh laut china selatan. Berita sedih diterima, hanya Allah tempat mengadu dan memohon. Nak serta merta pulang kena melihat kepada tiket kapal terbang ada atau tidak. Sebelum ini kawan dah ramai yang menghadapi suasana yang sama. Ada sebelum ini 3 hari ayah meninggal baru dapat dihubungi kerana berada di Ulu kinabatangan. Apalah gunanya elaun pendalaman yang diwar-warkan oleh kerajaan yang tinggi kerana semua itu tidak dapat membayar kehilangan kasih sayang seorang anak dengan ibubapanya. Diri ini untuk kesekian kalinya mengharapkan bonda dan ayahnda faham tugas anaknda disini.
Selesai bacaan yasin, dapat berita terbaru ayahnda telah sedar dan dapat berkomunikasi dengan doktor yang merawat. Alhamdulillah, segala kesyukuran kupanjatkan pada mu ya Allah. Kepada bonda dan adik-adik bersabarlah, inilah yang dipanggil ujian untuk menguji sejauh mana tingginya iman kita.
Ayahnda pula kemalangan dengan kereta kawan sepermainan sejak kecil yang dipandu oleh pekerjanya. Apa boleh buat anggaplah ini ketentuan Allah. Kalau ayahnda bersalah diri ini memohon berbanyak kemaafan dan kalau pemandu yang membawa kereta itu yang salah, diri ini mengharapkan semua ahli keluarga dapat memaafkan ia. Takkan kerana satu kemalangan ini kita satu kampung dan pula kawan sepermainan dari kecil akan bergaduh. Ingatlah, semuanya daripada Allah dan kalau kita tidak dapat terima hakikat ini, seumpama kita menafikan hak Allah yang maha berkuasa atas sesuatu.

Wassalam... Semoga ayahnda tercinta dalan keadaan selamat dan mendapat keberkatan Allah. Bagitu juga dengan kita semua.