Pages

Wednesday, February 24, 2010

Muhammad, Kelahiran Mu Bersama Rahmat.

(Sajak Semepana Sambutan Maulidurrasul 1431H)

Kelihatan kepulan asap debu,
Kelamnya menutupi terang cahaya sore,
Gegak gempita hentakan kaki tunggangan penguasa durjana,
Bertingkah alun nada suara,
Tangisan anak-anak dan ibu tua,
Gema pekikan disetiap penjuru kota.

“mereka telah datang !”,
“tentera bergajah sudah datang!”,
“Abrahah durjana telah datang!”,
Pekikan marhain memecah gelap sore.
“ha ha ha, tunggulah penduduk mekah ! Akan Ku hancurkan kaabah !”,
Suasana bising, hiruk pikuk, kelam kelibut,
Manusia marhain ketakutan,
Pengikut Abrahah semakin angkuh,
“ayuh kita hancurkan kaabah !” laungan bingit abrahah
“ayuhhhhhh !” bertingkah jawab pengikut setia.

Tiba-tiba,
Suasana kelam sore,
Dilitupi gumpalan bayangan hitam,
“Awan hitam berarak datang,”
“tidak! Itu bukan awan hitam,”,
“itu, itu, itu gerombolan burung Ababil,”
“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,
Dan diutuskan keatas mereka itu burung-burung ababil,
Dihujani mereka dengan batu dari neraka,
Jadilah keangkuhan mereka (tentera bergajah) Seperti daun dimakan Ulat.
(Al Fiil: 3 – 4 )

Pagi yang dingin, tenang dan ceria,
12 rabiulawal tahun gajah,
Kedengaran tangis bayi kecil memecah sepi
Bersama girangnya hati seorang Datuk,
Senyum manis seorang Ibu,
Membawa Keajaiban Mukjizat Allah,
Memegungkan mata hati seluruh Umat,

“Cahaya apa yang memancar itu, kelihatan terang hingga ke Syam”,
“Ha! Pendita tercengang, api berkuasa sembahannya padam,
Apa semua ini, apa yang berlaku?
Tengok bayi ini, sungguh cantik,
Siap berkhatan, terpotong pula tali pusatnya.
Badan lembut tak berdarah, berminyak umpama dilumur,
Apa semua ini?
Siapa budak ini?


Abdul Muttalib tersenyum, hati terdetik dan berkata,
Ini manusia agung, manusia pilihan.
Akan ku namakan dia dengan Muhammad.
Muhamad yang terpuji.
Muhammad, yang selawat dan salam hanya untuk Mu.


Nukilan Oleh:
Zulkarnain Bin Mohd Noh
Kinabatangan, Sabah.

Thursday, February 18, 2010

Kita Hanya Mengajak dan Allah Pemberi Hidayah

(Entri ini ditulis hanya sekadar muhasabah diri sendiri selaku seorang daie yang gagal dalam membentuk jiwa haraki para sahabat sekeliling seterusnya mengajak mereka terjun bersama dalam arus perjuangan semasa.)

Dalam Al Quran banyak ayat yang menyatakan akan kedudukan dan keistimewaan para daie. Tanggungjawab para daie dan bidang tugas para daie yang perlu dilihat dan perlu dianalisis sebaik mungkin supaya tidak timbul dan berlaku kesalah fahaman dalam konsep dakwah itu sendiri. Supaya bila nanti berlaku kegagalan dalam menerobos jiwa dua't tidak akan timbul keciciran yang sama pada diri daie itu.

Antara ayat Allah ialah, surah al Qashash ayat 56 yang bermaksud;
"Sesunguhnya engkau tidak mampu memberi hidayah kepada orang yang engkau sukai, akan tetapi Allah yang memberi hidayah kepada sesiapa yang Ia kehendaki dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah itu."
Dalam ayat yang lain allah berfirman, maksudnya:
"berilah peringatan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah sahaja pemberi peringatan. Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka."
Surah Al Ghasyiyah ayat 21 dan 22.


Manakala sirah telah meninggalkan satu pengalaman dakwah yang cukup bernilai oleh Nabi s.a.w. iaitu bagaimana bertungkus lumusnya nabi dalam mengajak bapa saudaranya yang paling disayanginya dan paling juga menyayangi nabi s.a.w. Sehingga bercerai nyawa dengan badan Abu Talib tetap tidak beriman dengan agama yang dibawa oleh anak saudaranya itu. Sedang sepanjang hidup beliaulah yang bertungkus lumus mempertahankan nabi dari ancaman kuffar Quraisy. Kematianya menjadi kesedihan nabi kerana antara sebabnya ialah kegagalan nabi mengislamkan orang yang paling ia sayang itu. Sehinggalah turunnya ayat di atas.

2 ayat di atas dan sirah yang hebat ini telah menjadikan penguat semangat kepada diri penulis agar terus mengajak sahabat keliling untuk sama-sama terjun dalam dunia dakwah. Memang timbul satu perasaan yang kecewa, hampa dan lemah semangat bila mana ajakan kepada kerja islam dipandang sebelah mata oleh sahabat. Ada juga yang berjanji mahu bersama dalam mengharungi dan menongkah arus dakwah tetapi menarik diri disaat akhir. Berpinar juga perasaan bila ini berlaku, dan terdetik niat dihati hendak membiarkan mereka dengan dunia mereka dan aku terus mengayuh sampan haraki setempat berduaan dengan sahabat terdekat setelah tiga empat kali benda yang sama berulang. Tapi syukur, ayat di atas dan sirah nabi menjadi penguat semangat. Biarkan mereka, kerja aku hanyalah mengajak mereka dan hidayah untuk membukakan hati mereka bagi sama-sama mengharungi perjuangan ini adalah kerja Allah. Jadi aku akan terus mengajak dan mengajak disamping terus berdoa, biarlah Allah memberikan mereka hidayahnya agar ilmu yang mereka miliki dimanfaatkan sebaiknya. Semoga diri mereka serta apa yang ada pada mereka digarapkan untuk menyebar luaskan risalah agama Allah ini.

Semoga apa yang diusahakan mendapat keredhaan Allah s.w.t. Dan selagi terbentang luas jalan dakwah selagi itu lautan pahala disediakan oleh Allah kepada pada daie. Selagi ada sekelilingku sahabat-sahabat yang perlu diajak selagi itu kerjaku terus mengajak kerana aku tahu ada hikmah disebalik kesukaran ini. Dan ada pahala yang banyak dan tidak akan jemu diberi oleh Allah kepada hambaNya yang sabar berjuang dijalannya. Siapa yang membantu agama Allah pasti Allah akan bantunya.

Sekian, Wassalam.... Teruskan berjuang samada menang atau syahid dijalannya.

Thursday, February 11, 2010

80.8% Rakyat Kelantan Menolak Wang Ehsan

KOTA BHARU, 11 Feb: Majoriti rakyat Kelantan menolak pemberian wang ehsan oleh kerajaan Pusat bagi menggantikan bayaran royalti petroleum terhadap negeri itu.

Dalam satu kaji selidik yang dibuat Pusat Kajian Strategik (PKS) Kelantan berhubung tuntutan royalti negeri itu, 80.8 peratus atau 5,721 dari 7,077 responden tidak bersetuju menerima wang ehsan berbanding royalti.

Manakala 1,023 atau 15.5 peratus sahaja bersetuju dengan tindakan kerajaan pusat tersebut.

Berhubung tindakan kerajaan negeri menuntut royalti pula, 95.1 peratus dari jumlah keseluruhan responden menyokong tindakan kerajaan negeri dan hanya dua peratus tidak bersetuju manakala 2.8 peratus lagi memberikan jawapan tidak pasti.

Sekiranya, tuntutan royalti tidak mampu diselesaikan melalui meja rundingan, 83.2 peratus atau 5,886 dari responden bersetuju tuntutan tersebut dipanjangkan ke mahkamah.

Ketua Pegawai Penyelidik PKS, Zainal Abidin Hussin ketika merumuskan hasil kajian itu berkata, rakyat Kelantan sememangnya menyokong dan bersama kerajaan negeri dalam menuntut hak royalti tersebut.

"Rakyat Kelantan bersama kerajaan negeri dalam usaha menuntut hak royalti seperti termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum (1974).

"Ini juga satu referendum rakyat negeri dan mereka menolak kaedah kerajaan pusat yang menukar royalti kepada wang ehsan," katanya.

Kaji selidik tersebut dibuat merangkumi sepuluh jajahan iaitu Kota Bharu, Bachok, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Jeli, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang.

Responden pula adalah berumur 21 tahun ke atas mewakili pelbagai latar belakang kerjaya termasuk kakitangan kerajaan pusat, kerajaan negeri, swasta dan bekerja sendiri.

Kerajaan pusat sebelum ini mengumumkan akan memberi wang ehsan RM20 juta kepada Kelantan berbanding RM 2 bilion royalti yang dituntut kerajaan negeri itu.

( Dan untuk makluman En. Zainal Abidin Bin Husain, ketua pegawai penyelidik PKS, kami Rakyat Kelantan di Sabah 100% menolak Wang Ehsan. Apa hak Awe Adik dan Stopa Mamat ambil Wang Ehsan kerana merekalah orang yang kuat menentang permohonan Datuk Hussam untuk mendapatkan Royalti kerajaan kelantan. Dasar muka tembok dan tak tahu malu. Teruskan berusaha untuk mendapatkan hak rakyat kelantan dan kami di Sabah akan sentisa berdoa kejayaan Tok Guru dan semua rakyat kelantan.)