Pages

Monday, May 31, 2010

Aurat Seorang Wanita

Aurat diambil dari perkataan Arab 'Aurah' yang bererti keaiban. Manakala dalam istilah fiqh pula aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan.

Aurat lelaki pada bila-bila masa dan apabila bersama-sama sesiapa pun adalah sama iaitu antara p...usat dan lutut. Tetapi bagi wanita terdapat perbezaan dalam beberapa keadaan antaranya:

1. Aurat Ketika Sembahyang
Aurat wanita ketika sembahyang adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.

2. Aurat Ketika Sendirian
Aurat wanita ketika mereka bersendirian adalah bahagian anggota pusat dan lutut. Ini bererti bahagian tubuh yang tidak boleh dilihat adalah antara pusat dan lutut.

3. Aurat Ketika Bersama Mahram/Orang yang Tidak Boleh Di Kahwini
Pada asasnya aurat seseorang wanita dengan mahramnya adalah pusat dan lutut. Walaupun begitu wanita dituntut agar menutup mana-mana bahagian tubuh badan yang boleh menaikan syahwat lelaki walaupun mahram sendiri. Perkara ini dilakukan bagi menjaga adab dan tata susila wanita terutama dalam menjaga kehormatan agar perkara-perkara sumbang dan tidak diingini tidak akan berlaku. Oleh itu, pakaian yang labuh dan menutup tubuh badan digalakkan walaupun semasa bersama mahram adalah pakaian yang lengkap dan labuh.

Syarak telah menggariskan golongan yang dianggap sebagai mahram kepada seseorang wanita iaitu:

1. Suami
2. Ayah, termasuk datuk belah ibu dan bapa.
3. Ayah mertua
4. Anak-anak lelaki termasuk cucu samada dari anak lelaki atau perempuan
5. Anak-anak suami. Dalam perkara ini Islam mengharuskan isteri bergaul dengan anak suami kerana wanita tersebut telah dianggap dan berperanan sebagai ibu kepada anak-anak suaminya.
6. Saudara lelaki kandung atau seibu atau sebapa.
7. Anak saudara lelaki kerana mereka ini tidak boleh dinikahi selama-lamanya.
8. Anak saudara dari saudara perempuan.
9. Sesama wanita samada ada kaitan keturunan atau yang seagama.
10. Hambanya Sahaya.
11. Pelayan yang tidak ada nafsu syahwat.
12. Anak-anak kecil yang belum mempunyai syahwat terhadap wanita. Walau pun begitu, bagi kanak-kanak yang mempunyai syahwat tetapi belum baligh, wanita dilarang menampakkan aurat terhadap mereka.

Imam Syafie berpendapat; perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat di atas terbahagi kepada dua makna iaitu:
1. Perhiasan yang bersifat semula jadi seperti muka, pipi, mulut, mata, bibir, hidung, kaki, betis, peha dan lain-lain anggota.
2. Perhiasan seperti pakaian, alat-alat solek, cincin, rantai leher, gelang kaki dan sebagainya.

4. Aurat Ketika Di Hadapan Lelaki Bukan Mahram/ Yang sah di kahwini
Kewajipan menutup aurat di hadapan lelaki bukan mahram adalah amat penting dan perlu dilaksanakan oleh setiap wanita, bagi mengelak daripada berlaku perkara yang tidak diingini seperti rogol dan sebagainya. Perkara ini terjadi disebabkan memuncaknya nafsu para lelaki akibat dari penglihatan terhadap wanita memakai pakaian yang tidak senonoh dan mendedahkan sebahagian tubuh badan mereka.
Wanita yang bersuami pula, dengan terlaksanakan kewajipan ini, akan dapat membantu suami, yang mana dosa seorang isteri yang membuka aurat akan ditanggung oleh s.u.a.m.i. Oleh itu, wanita-wanita perlulah memahami batas-batas aurat ketika berhadapan dengan orang-orang yang tertentu dalam keadaan yang berbeza-beza.

5. Aurat Ketika Di Hadapan Wanita Bukan Islam
Aurat wanita apabila berhadapan atau bergaul dengan wanita bukan Islam adalah tutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan. Rasulullah S.A.W. bersabda dalam sebuah hadis yg bermaksud: Abdullah bin Abbas ada menyatakan, Rasulullah S.A.W. bersabda yg maksudnya: "Tidak halal kaum wanita Islam itu dilihat oleh kaum Yahudi dan Nasrani".
Ini adalah kerana dikhuatiri wanita bukan Islam boleh mendedahkan perwatakan tubuh badan dan aurat wanita muslimah kepada rakan-rakan lelakinya yang bukan Islam mahupun yang beragama Islam.

6. Aurat ketika Bersama Suami
Apabila seorang isteri bersama-sama dengan suaminya di tempat yang terlindung dari pandangan orang lain, maka Islam telah memberi kelonggaran dengan tiada membataskan aurat pada suaminya. Ini bererti suami dan isteri tiada sebarang batasan aurat terhadap mereka berdua. Isteri boleh mendedahkan seluruh anggota badannnya bila berhadapan dengan suaminya.

Mu'awiyah bin Haidah mengatakan: "Aku pernah bertanya: Ya Rasulullah, bagaimanakah aurat kami, apakah boleh dilihat oleh orang lain?". Baginda menjawab: "Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau terhadap hamba abdi milikmu". Aku bertanya lagi: "Ya Rasulullah, bagaimanakah kalau ramai orang mandi bercampur-baur di satu tempat?" Baginda menjawab: "Berusahalah seboleh mungkin agar engkau tidak boleh melihat aurat orang lain dan ia pun tidak boleh melihat auratmu". Aku masih bertanya lagi: "Ya Rasullullah, bagaimanakah kalau orang mandi sendirian?" Baginda menjawab: "Seharuslah ia lebih malu kepada Allah daripada malu kepada orang lain". (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Dawud)

Friday, May 14, 2010

Sajak Hari Guru 2010

Guru Pembina Negara Bangsa

Di celah gelegar kepayahan
Bersama keriokan rindu mencekam
Kegegeran bunyi enjin sangkut
Gelinciran batuan dan kepulan asap debu,
Lambaian jemari daun sawit
Bertingkah alun irama unggas
Bersusun atur hempasan ombak laut sulu.
Memukul lembut sunyian pantai.

Ombak dada kencang menghempas
Bertari lentok olakan tinggalan enjin sangkut
Bersemut pinggul,
Berkebas lutut paha,
Hati bergetar mencipta rasa,
Takut, resah, rindu dan payah…
Kuatkan semangat wahai hati,
Kuatkan jiwaku ya Rabbi,

Jangan gentar libasan buaya
Kederasan arus dan kepanasan cuaca,
Masakan anak-anak Balat, Kuamut dan Desa Permai,
Dibiar tanpa arah, tanpa tunjuk dan cara.
Ini tugas Ku,
Ini amanah Ku,
Kerana akulah Murabbi,
Pembina Negara bangsa.


Bersama deruan enjin pairet
Diatas bentangan karpet berbatu kerikil
Di celah-celah lambaian jemari daun sawit
Sambutan rindu sang belali
Mengamit mesra mengukuh persahabatan
Kecut perut, nadi berombak,
Takut, resah, rindu dan payah,
Hati berbicara seribu bahasa,
Apakah kan ku biarkan,
Keikhlasan, kelayuan dan jernih mata,
Anak-anak Tabin, lintang, Sri Ganda dan Sungai Bendera,
tanpa tunjuk cara dan sopan kata,
Ini Tugas Ku,
Ini amanah Ku,
Kerana akulah Muaddib,
Pembina Negara bangsa.

Berkolek arus ombak laut sulu,
Bergadai nyawa ibarat kata sang nelayan,
Takut, resah, rindu dan payah,
Namun kenakalan,
Anak-anak Tundung Bohangi dan Abai,
Akan tetap di tatang,
Bersama kiluan buih hempasan ombak di pantai
Moga-moga kelak dewasa nanti
Mereka mampu menyusun kata,
Mengukir buih ombak menjadi mutiara
Ini tugas ku,
Ini amanah ku,
Kerana akulah muallim,
Pembina Negara bangsa.

Setaguh manapun ketakutan,
Setinggi manapun keresahan,
Sekuat manapun cengkaman rindu,
Walau seribu kepayahan terbentang,
Akan ku hayuti di aliran sungai Kinabatangan,
Akan ku campakkan ditengah hijauan ladang sawit,
Akan ku lontar jauh ketengah laut sulu,
Kerana aku adalah murabbi,
Aku adalah muaddib,
Aku adalah muallim,
Aku adalah guru
Pembina negara bangsa.



Sajak Nukilan Oleh:
Ust. Zulkarnain Bin Mohd Noh
SK. Sentosa Jaya,
Wdt 227, 90200, Kinabatangan. Sabah.

Hari guru 2010.