(Perbanyakkan dan agihkan kepada murid anda sebagai Idola mereka)
SA’ID BIN ‘AMIR AL JUMAHY
“Dia telah membeli akhirat dengan dunia, dan mengutamakan keredhaan Allah dan Rasul atas segala-galanya.” (Mu’arrikhin).
SA’ID BIN ‘AMIR AL JUMAHY, termasuk seorang pemuda di antara ribuan orang yang pergi ke Tan’im, di luar kota Makkah. Mereka berbondong-bondong ke sana, dikerahkan para pemimpin Quraisy untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman mati terhadap Khubaib bin ‘Ady, iaitu seorang sahabat Nabi yang mereka jatuhi hukuman tanpa alasan.
Dengan semangat muda yang menyala-nyala, Sa’id maju menerobos orang banyak yang berduyun-duyun. Akhirnya dia sampai ke depan, sejajar dengan tempat duduk orang-orang penting, seperti Abu Sufyan bin Harb, Shafwan bin Umayyah dan lain-lain. Kaum kafir Quraisy sengaja mempertontonkan tawanan mereka dibelenggu. Sementara para wanita, anak anak dan pemuda, menggiringi Khubaib ke lapangan maut. Mereka ingin membalas dendam terhadap Nabi Muhammad saw., serta melampiaskan sakit hati atas kekalahan mereka dalam peperangan Badar. Ketika tawanan yang mereka iring sampai ke tiang salib yang telah disediakan, Sa’id mendongakkan kepala melihat kepada Khubaib bin ‘Ady. Sa’id mendengar suara Khubaib berkata dengan mantap, “Jika kalian bolehkan, saya ingin sholat dua raka’at sebelum saya kalian bunuh....”
Kemudian Sa’id melihat Khubaib menghadap ke kiblat (Ka’bah). Dia sholat dua raka’at. Alangkah bagus dan sempurna sholatnya itu. Sesudah sholat, Khubaib menghadap kepada para pemimpin Quraisy seraya berkata, “Demi Allah! Seandainya kalian tidak akan menuduhku melama-lamakan sholat untuk melambat-lambatkan waktu karena takut mati, niscaya saya akan sholat lebih banyak lagi.” Mendengar ucapan Khubaib tersebut, Sa’id melihat para pemimpin Quraisy naik darah, bagaikan hendak mencincang-cincang tubuh Khubaib hidup hidup.
Kata mereka, “Sukakah engkau si Muhammad menggantikan engkau, kemudian engkau kami bebaskan?”
“Saya tidak ingin bersenang-senang dengan isteri dan anak-anak saya, sementara Muhammad tertusuk duri....,” jawab Khubaib mantap.
“Bunuh dia...! Bunuh dia...!” teriak orang banyak.
Sa’id melihat Khubaib telah dipakukan ke tiang salib. Dia mengarahkan pandangannya ke langit sambil mendo’a, “Ya, Allah! Hitunglah jumlah mereka! Hancurkanlah mereka semua. Jangan disisakan seorang jua pun!”
Tidak lama kemudian Khubaib menghembuskan nafasnya yang terakhir di tiang salib. Sekujur tubuhnya penuh dengan luka-luka kerana tebasan pedang dan tikaman tombak yang tak terbilang jumlahnya.
Kaum kafir Quraisy kembali ke Makkah seperti biasa sahaja selepas melakukan pembunuhan tersebut. Seolah-olah mereka telah melupakan peristiwa maut yang meragut nyawa Khubaib dengan penuh penyeksaan. Tetapi Sa’id bin ‘Amir Al Jumahy yang baru meningkat usia remaja tidak dapat melupakan Khubaib walau agak sedetikpun. Sehingga dia bermimpi melihat Khubaib menjelma di hadapannya. Dia seakan-akan melihat Khubaib solat dua raka’at dengan khusyu’ dan tenang di bawah tiang salib. Seperti terdengar olehnya rintihan suara Khubaib mendoakan kaum kafir Quraisy. Kerana itu Sa’id ketakutan kalau-kalau Allah swt segera mengabulkan doa Khubaib, sehingga petir dan halilintar menyambar kaum Quraisy.
Keberanian dan ketabahan Khubaib menghadapi maut mengajarkan pada Sa’id beberapa hal yang belum pernah diketahuinya selama ini.
Pertama, hidup yang sesungguhnya ialah hidup beraqidah (beriman), kemudian berjuang mempertahankan aqidah itu sampai mati.
Kedua, iman yang telah terhunjam di dalam hati seseorang dapat menimbulkan hal-hal yang ajaib dan luar biasa.
Ketiga, orang yang paling dicintai Khubaib ialah sahabatnya, iaitu seorang Nabi yang dikukuhkan dari langit.
Sejak itu Allah swt. membukakan hati Sa’id bin ‘Amir untuk menganut agama Islam. Kemudian dia berpidato di hadapan khalayak ramai, menyatakan: alangkah bodohnya orang Quraisy menyembah berhala. Karana itu dia tidak mahu terlibat dalam kebodohan itu. Lalu dibuangnya berhala-berhala yang dipujanya selama ini. Kemudian diumumkannya bahwa mulai saat ini dia memeluk agama Islam. Tidak lama sesudah itu, Said menyusul kaum muslimin hijrah ke Madinah. Di sana dia sentiasa mendampingi Nabi s.a.w. Dia ikut berperang bersama baginda bermula dengan peperangan Khaibar. Kemudian dia selalu turut berperang dalam setiap peperangan berikutnya.
Setelah Nabi saw. wafat, Sa’id tetap menjadi pembela setia Khalifah Abu Bakar dan ‘Umar. Dia menjadi teladan satu-satuya bagi orang-orang mu’min yang membeli kehidupan akhirat dengan kehidupan dunia. Dia lebih mengutamakan keredhaan Allah dan pahala daripada-Nya di atas segala keinginan hawa nafsu dan kehendak jasad. Kedua Khalifah Rasulullah, Abu Bakar dan ‘Umar bin Al Khattab, mengerti bahwa ucapan-ucapan Sa’id sangat hebat, dan taqwanya sangat tinggi. Kerana itu keduanya tidak keberatan mendengar dan melaksanakan nasihat-nasihat Sa ‘id. Pada sutu hari di awal pemerintahan Khalifah ‘Umar bin Al Khattab, Sa’id datang kepadanya memberi nasihat.
Kata Sa’id, “Ya Umar! Takutlah kepada Allah dalam memerintah manusia. Jangan takut kepada manusia dalam menjalankan agama Allah! Jangan berkata berbeza dengan perbuatan. Kerana sebaik-baik perkataan ialah yang dibuktikan dengan perbuatan”.
“Hai Umar! Tujukanlah seluruh perhatian Anda kepada urusan kaum muslimin baik yang jauh mahupun yang dekat. Berikan kepada mereka apa yang Anda dan keluarga Anda sukai. Jauhkan dari mereka apa-apa yang Anda dan keluarga Anda tidak sukai. Arahkan semua kurniaan Allah kepada yang baik. Jangan hiraukan cacian orang-orang yang suka mencaci.”
“Siapakah yang sanggup melaksanakan semua itu, hai Sa’id?” Tanya Khalifah Umar.
“Tentu orang seperti Anda! Bukankah Anda telah dipercayai Allah memerintah umat Muhammad ini? Bukankah antara Anda dengan Allah tidak ada lagi suatu penghalang?” jawab Sa’id meyakinkan.
Pada suatu ketika Khalifah ‘Umar memanggil Sa’id untuk diserahi suatu jabatan dalam pemerintahan.
“Hai Sa’id! Engkau kami angkat menjadi Gabenor di Himsh!” kata Khalifah Umar.
“Wahai Umar! Saya memohon kepada Allah semoga Anda tidak mendorong saya condong kepada dunia,” kata Sa’id.
“Celaka Engkau!” balas Umar marah. “Engkau pikulkan beban pemerintahan ini di bahuku, tetapi kemudian Engkau menghindar dan membiarkanku susah sendiri.”
“Demi Allah! Saya tidak akan membiarkan Anda,” jawab Sa’id.
Kemudian Khalifah Umar melantik Sa’id menjadi Gabenor di Himsh.
Sesudah pelantikan itu, Khalifah Umar bertanya kepada Sa’id, “Berapa gaji yang Engkau inginkan?”
“Apa yang harus saya perbuat dengan gaji itu, ya Amirul Mu’minin?” jawab Sa’id balik bertanya. “Bukankah penghasilan saya dan Baitul Mal sudah cukup?”
Tidak berapa lama setelah Sa’id memerintah di Himsh, sebuah delegasi datang menghadap Khalifah Umar di Madinah. Delegasi itu terdiri dari penduduk Himsh yang di tugaskan oleh Khalifah memerhatikan pemerintahan di Himsh.
Dalam pertemuan dengan delegasi tersebut, Khalifah Umar meminta daftar fakir miskin di Himsh untuk diberikan pertolongan. Delegasi mengajukan daftar yang diminta Khalifah. Di dalam daftar tersebut terdapat nama-nama semua fakir miskin, dan antara nama-nama tersebut terdapat nama Sa’id bin ‘Amir Al Jumahy.
Ketika Khalifah meneliti daftar tersebut, beliau menemukan nama Sa’id bin ‘Amir Al Jumahy. Lalu beliau bertanya “Siapa Sa’id bin ‘Amir yang kalian senaraikan ini?”
“Gabenor kami! “jawab mereka.
“Betulkah Gabenor kalian miskin?” tanya Khalifah kehairanan.
“Sungguh, ya Amiral Mu’minin! Demi Allah! Sering kali di rumahnya tidak kelihatan tanda-tanda api menyala (tidak memasak),” jawab mereka meyakinkan.
Mendengar perkataan itu, Khalifah ‘Umar menangis, sehingga air mata beliau meleleh membasahi janggutnya. Kemudian beliau mengambil sebuah pundi-pundi berisi wang seribu dinar.
“Kembalilah kalian ke Himsh. Sampaikan salamku kepada Gabenor Sa’id bin ‘Amir. Dan wang ini saya kirimkan untuk beliau, guna meringankan kesulitan-kesulitan rumah tangganya” ucap ‘Umar sedih.
Setibanya di Himsh, delegasi itu segera menghadap Gabenor Sa’id, menyampaikan salam dan wang kiriman Khalifah untuk beliau. Setelah Gabenor Sa’id melihat pundi-pundi berisi wang dinar, pundi-pundi itu dijauhkannya dari sisinya seraya berucap, ‘Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. (Kita milik Allah, pasti kembali kepada Allah).”
Mendengar ucapannya itu, seolah-olah suatu mara bahaya sedang menimpanya. Kerana itu isterinya segera menghampirinya dan seraya bertanya, “Apa yang terjadi, hai Sa’Id? Meninggalkah Amirul Mu ‘minin?”
“Bahkan lebih besar dari itu!” jawab Sa’id sedih. “Apakah tentera muslimin kalah berperang?” tanya Isterinya pula.
“Jauh lebih besar dari itu!” jawab Sa’id tetap sedih. “Apa pulakah gerangan yang Iebih dari itu?” tanya isterinya tak sabar.
“Dunia telah datang untuk merosakkan akhiratku. Bencana telah menyusup ke rumah tangga kita,” jawab Sa’id dengan tegas.
“Bebaskan dirimu daripadanya!” kata isteri Sa’id memberi semangat, tanpa mengetahui perihal adanya pundi wang yang dikirimkan Khalifah Umar untuk peribadi suaminya.
“Mahukah Engkau menolongku berbuat demikian?” tanya Sa ‘id.
“Tentu...;!” jawab isterinya bersemangat.
Maka Sa’id mengambil pundi Wang itu, lalu disuruh isterinya membahagi-bahagikan kepada fakir miskin.
Tidak berapa lama kemudian, Khalifah Umar berkunjung ke Syria, untuk melihat pemerintahan di sana. Dalam kunjungannya itu beliau. Singgah di Himsh. Kota Himsh pada masa itu dinamakan orang dengan “Kuwaifah (Kufah kecil)”, kerana rakyatnya sering melapor kepada pemerintahan pusat tentang kelemahan Gabenor mereka, persis seperti kelakuan masyarakat Kufah.
Tatkala Khalifah singgah di sana, rakyat mengalu-alukan beliau, mengucapkan Selamat Datang.
Khalifah bertanya kepada rakyat, “Bagaimana penilaian saudara-Saudara terhadap kebijaksanan Gabenor.”
“Ada empat macam kelemahan yang hendak kami laporkan kepada Khalifah,” jawab rakyat.
“Saya akan pertemukan kalian dengan Gabenor kalian,” jawab Khalifah ‘Umar sambil mendo’a: “Semoga sangka baik saya selama ini kepada Sa’id bin ‘Amir tidak salah.”
Maka tatkala semua pihak iaitu Gabenor dan masyarakat telah berada di hadapan Khalifah, beliau bertanya kepada rakyat, “Bagaimana laporan saudara-saudara tentang kebijaksanan Gabenor Saudara-saudara?”
Pertanyaan Khalifah dijawab oleh seorang Juru Bicara.
Pertama: Gabenor selalu tiba di tempat tugas setelah matahari tinggi.
“Bagaimana jawapan Anda mengenai laporan rakyat Anda itu, hai Sa ‘id?” tanya Khalifah.
Gabenor Sa’id bin ‘Amir Al Jumahy diam sejenak. Kemudian dia berkata: “Sesungguhnya saya keberatan menjawabnya. Tetapi apa boleh buat.. Keluarga saya tidak mempunyai pembantu. Karena itu tiap pagi saya terpaksa membuat adunan roti terlebih dahulu untuk mereka. Sesudah adunan itu siap untuk dimasak, barulah saya buat roti. Kemudian saya berwudhu’. Sesudah itu barulah saya berangkat ke tempat tugas untuk melayani masyarakat.”
“Apa lagi laporan Saudara-saudara?” tanya Khalifah kepada hadirin.
“Kedua, Gabenor tidak bersedia melayani kami pada malam hari.”
“Bagaimana pula jawapan Anda mengenai hal itu, hai Sa’id?” tanya khalifah.
“ Ini sesungguhnya lebih berat bagi saya menjawabnya, terutama di hadapan umum seperti ini,” kata Sa ‘id. “Saya telah membahagi waktu saya, siang hari untuk melayani masyarakat, malam hari untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah,” lanjut Sa ‘id
“Apa lagi,” tanya Khalifah kepada hadirin.
“Ketiga, Gabenor tidak masuk pejabat sehari penuh dalam sebulan.”
“Bagaimana pula jawapan Anda, hai Sa’id?” tanya Khalifah ‘Umar.
“Sebagaimana telah saya terangkan tadi, saya tidak mempunyai pembantu rumah. Di samping itu saya hanya memiliki sepasang pakaian yang melekat di badan ku ini. Saya mencucinya sekali sebulan. Bila saya mencucinya, saya terpaksa menunggu kering lebih dahulu. Sesudah itu barulah saya dapat keluar melayani masyarakat,” ucap Said.
“Nah, apa lagi laporan selanjutnya?” tanya Khalifah.
“Keempat, Sewaktu Gabenor menutup bicara. Pada saat-saat seperti itu, biasanya beliau pergi meninggalkan majlis.”
“Silakan menjawabnya, hai Gabenor Said!” kata Khali fah Umar.
“Ketika saya masih musyrik dulu, saya pernah menyaksikan Khubaib bin ‘Ady dihukum mati oleh kaum kafir Quraisy. Saya menyaksikan mereka menyiat-yiat tubuh Khubaib berkeping-keping. Pada waktu itu mereka bertanya dengan mengejek Khubaib, “Sukakah engkau si Muhammad menggantikan engkau, kemudian engkau kami bebaskan?”
Ejekan mereka itu dijawab oleh Khubaib dengan tegas, “Saya tidak ingin bersenang-senang dengan isteri dan anak-anak saya, sementara Nabi Muhammad tertusuk duri ...“
“Demi Allah...!” kata Sa’id. “Jika saya teringat akan peristiwa itu, di waktu mana saya membiarkan Khubaib tanpa membelanya sedikitpun, maka saya merasakan bahwa dosa saya tidak akan diampuni Allah swt.”
“Segala puji bagi Allah yang tidak mengecewakanku,” kata Khalifah Umar mengakhiri dialog itu.
Sekembalinya ke Madinah, Khalifah Umar mengirimkan kepada Gabenor Sa’id seribu dinar untuk memenuhi keperluannya.
Melihat jumlah wang sebanyak itu, isterinya berkata kepada Sa’id, “Segala puii bagi Allah yang mencukupi kita dengan berkat pengabdianmu. Saya ingin wang ini kita pergunakan untuk membeli bahan pangan(makanan) dan kelengkapan kelengkapan lain-lain. Dan saya ingin pula menggaji seorang pembantu rumah tangga untuk kita.”
“Adakah usul yang lebih baik dari itu?” tanya Sa’id kepada isterinya.
“Apa pula yang lebih baik dari itu? “ Tanya isterinya balik.
“Kita bahagi-bahagikan saja wang ini kepada rakyat yang memerlukannya. Itulah yang lebih baik bagi kita,” jawab Sa’id.
“Mengapa....?” tanya isterinya.
“Dengan itu bererti kita membayarkan wang ini kepada Allah. Itulah cara yang lebih baik,” kata Said.
“Baiklah kalau begitu,” kata isterinya. “Semoga kita dibalasi Allah dengan balasan yang paling baik.”
Sebelum mereka meninggalkan majlis, wang itu dimasukkan Sa‘Id ke dalam beberapa pundi, lalu diperintahkannya kepada salah seorang keluarganya,“Pundi ini berikan kepada janda si Fulan. Pundi ini kepada anak yatim Si Fulan. Ini kepada si Fulan yang miskin... dan seterusnya.”
Semoga apa yang diperbuatkan oleh Sa’id menjadi panduan kepada kita dalam pengabdian kita kepada Allah. Dan semoga Allah swt meredhai Sa’id bin ‘Amir Al Jumahy. Dia telah membeli akhirat dengan menghindari godaan kemewahan dunia, dan mengutamakan keredhaan Allah serta pahala yang berlipat ganda di akhirat, lebih dari segala-galanya. Amin!!!
1 comment:
rencana2 saudara amat menarik tp sukar dibaca kerana font size yg amat kecil. ditambah pula dgn warna font dan warna latar yg seakan2 sama. boleh diperbaiki. karya yg baik jd lebih baik jika dipersembahkan dalam bentuk yg mudah dibaca.sekian.. terima kasih. hamba Allah.
Post a Comment