(Entri ini ditulis hanya sekadar muhasabah diri sendiri selaku seorang daie yang gagal dalam membentuk jiwa haraki para sahabat sekeliling seterusnya mengajak mereka terjun bersama dalam arus perjuangan semasa.)
Dalam Al Quran banyak ayat yang menyatakan akan kedudukan dan keistimewaan para daie. Tanggungjawab para daie dan bidang tugas para daie yang perlu dilihat dan perlu dianalisis sebaik mungkin supaya tidak timbul dan berlaku kesalah fahaman dalam konsep dakwah itu sendiri. Supaya bila nanti berlaku kegagalan dalam menerobos jiwa dua't tidak akan timbul keciciran yang sama pada diri daie itu.
Antara ayat Allah ialah, surah al Qashash ayat 56 yang bermaksud;
"Sesunguhnya engkau tidak mampu memberi hidayah kepada orang yang engkau sukai, akan tetapi Allah yang memberi hidayah kepada sesiapa yang Ia kehendaki dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah itu."
Dalam ayat yang lain allah berfirman, maksudnya:
"berilah peringatan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah sahaja pemberi peringatan. Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka."
Surah Al Ghasyiyah ayat 21 dan 22.
Manakala sirah telah meninggalkan satu pengalaman dakwah yang cukup bernilai oleh Nabi s.a.w. iaitu bagaimana bertungkus lumusnya nabi dalam mengajak bapa saudaranya yang paling disayanginya dan paling juga menyayangi nabi s.a.w. Sehingga bercerai nyawa dengan badan Abu Talib tetap tidak beriman dengan agama yang dibawa oleh anak saudaranya itu. Sedang sepanjang hidup beliaulah yang bertungkus lumus mempertahankan nabi dari ancaman kuffar Quraisy. Kematianya menjadi kesedihan nabi kerana antara sebabnya ialah kegagalan nabi mengislamkan orang yang paling ia sayang itu. Sehinggalah turunnya ayat di atas.
2 ayat di atas dan sirah yang hebat ini telah menjadikan penguat semangat kepada diri penulis agar terus mengajak sahabat keliling untuk sama-sama terjun dalam dunia dakwah. Memang timbul satu perasaan yang kecewa, hampa dan lemah semangat bila mana ajakan kepada kerja islam dipandang sebelah mata oleh sahabat. Ada juga yang berjanji mahu bersama dalam mengharungi dan menongkah arus dakwah tetapi menarik diri disaat akhir. Berpinar juga perasaan bila ini berlaku, dan terdetik niat dihati hendak membiarkan mereka dengan dunia mereka dan aku terus mengayuh sampan haraki setempat berduaan dengan sahabat terdekat setelah tiga empat kali benda yang sama berulang. Tapi syukur, ayat di atas dan sirah nabi menjadi penguat semangat. Biarkan mereka, kerja aku hanyalah mengajak mereka dan hidayah untuk membukakan hati mereka bagi sama-sama mengharungi perjuangan ini adalah kerja Allah. Jadi aku akan terus mengajak dan mengajak disamping terus berdoa, biarlah Allah memberikan mereka hidayahnya agar ilmu yang mereka miliki dimanfaatkan sebaiknya. Semoga diri mereka serta apa yang ada pada mereka digarapkan untuk menyebar luaskan risalah agama Allah ini.
Semoga apa yang diusahakan mendapat keredhaan Allah s.w.t. Dan selagi terbentang luas jalan dakwah selagi itu lautan pahala disediakan oleh Allah kepada pada daie. Selagi ada sekelilingku sahabat-sahabat yang perlu diajak selagi itu kerjaku terus mengajak kerana aku tahu ada hikmah disebalik kesukaran ini. Dan ada pahala yang banyak dan tidak akan jemu diberi oleh Allah kepada hambaNya yang sabar berjuang dijalannya. Siapa yang membantu agama Allah pasti Allah akan bantunya.
Sekian, Wassalam.... Teruskan berjuang samada menang atau syahid dijalannya.
No comments:
Post a Comment