Guru Pembina Negara Bangsa
Di celah gelegar kepayahan
Bersama keriokan rindu mencekam
Kegegeran bunyi enjin sangkut
Gelinciran batuan dan kepulan asap debu,
Lambaian jemari daun sawit
Bertingkah alun irama unggas
Bersusun atur hempasan ombak laut sulu.
Memukul lembut sunyian pantai.
Ombak dada kencang menghempas
Bertari lentok olakan tinggalan enjin sangkut
Bersemut pinggul,
Berkebas lutut paha,
Hati bergetar mencipta rasa,
Takut, resah, rindu dan payah…
Kuatkan semangat wahai hati,
Kuatkan jiwaku ya Rabbi,
Jangan gentar libasan buaya
Kederasan arus dan kepanasan cuaca,
Masakan anak-anak Balat, Kuamut dan Desa Permai,
Dibiar tanpa arah, tanpa tunjuk dan cara.
Ini tugas Ku,
Ini amanah Ku,
Kerana akulah Murabbi,
Pembina Negara bangsa.
Bersama deruan enjin pairet
Diatas bentangan karpet berbatu kerikil
Di celah-celah lambaian jemari daun sawit
Sambutan rindu sang belali
Mengamit mesra mengukuh persahabatan
Kecut perut, nadi berombak,
Takut, resah, rindu dan payah,
Hati berbicara seribu bahasa,
Apakah kan ku biarkan,
Keikhlasan, kelayuan dan jernih mata,
Anak-anak Tabin, lintang, Sri Ganda dan Sungai Bendera,
tanpa tunjuk cara dan sopan kata,
Ini Tugas Ku,
Ini amanah Ku,
Kerana akulah Muaddib,
Pembina Negara bangsa.
Berkolek arus ombak laut sulu,
Bergadai nyawa ibarat kata sang nelayan,
Takut, resah, rindu dan payah,
Namun kenakalan,
Anak-anak Tundung Bohangi dan Abai,
Akan tetap di tatang,
Bersama kiluan buih hempasan ombak di pantai
Moga-moga kelak dewasa nanti
Mereka mampu menyusun kata,
Mengukir buih ombak menjadi mutiara
Ini tugas ku,
Ini amanah ku,
Kerana akulah muallim,
Pembina Negara bangsa.
Setaguh manapun ketakutan,
Setinggi manapun keresahan,
Sekuat manapun cengkaman rindu,
Walau seribu kepayahan terbentang,
Akan ku hayuti di aliran sungai Kinabatangan,
Akan ku campakkan ditengah hijauan ladang sawit,
Akan ku lontar jauh ketengah laut sulu,
Kerana aku adalah murabbi,
Aku adalah muaddib,
Aku adalah muallim,
Aku adalah guru
Pembina negara bangsa.
Sajak Nukilan Oleh:
Ust. Zulkarnain Bin Mohd Noh
SK. Sentosa Jaya,
Wdt 227, 90200, Kinabatangan. Sabah.
Hari guru 2010.
No comments:
Post a Comment