Setiap kejadian yang Allah jadikan pasti ada hikmah disebaliknya. Walau sekecil manapun peristiwa, hikmahnya tetap ada. Apatah lagi kalau peristiwa tersebut amat besar dan hebat pada pandangan manusia.
Maaf, saya nyatakan disini perihal peristiwa kemalangan yang melibatkan seorang sahabat yang cukup tragis sehingga jenazahnya rentung. Keluarga simati yang dalam kesedihan menerima tragedi yang cukup tragis. Sepatutnya orang ramai datang dan memberikan takziah dan mengembirakan keluarga dengan kata-kata semangat bukan beramai-ramai berkumpul dan bercakap tanpa ada keinsafan.
Perkara kedua perlu dilihat ialah perlunya kita sedar dan insaf, apabila tiba ajal seseorang maka tidak akan ditangguh atau dipercepatkannya walau sesaat cuma. Tidak perlu tunggu tua kerana mati bukan syarat tua. Tidak perlu sakit yang kritikal kerana mati bukan syarat sakit. Sebab itu sebelum tibanya kematian, kita kena persiapkan diri untuk menghadapinya.
Hikmah yang besar yang perlu diambil perhatian terutama golongan berpengetahuan agama iaitu persoalan pengurusan jenazah. Persoalan apa yang perlu dibuat, samada jenazah ynag telah rentung perlu dimandikan atau cukup sekadar tayammum. Bila persolan diajukan, berbagai pendapat keluar, yang satupun tanpa berlandaskan hujjah syarak dan pendapat ulama' muktabar. Apatah lagi pihak yang lebih berautoriti lambat menghadirkan diri.
Perlunya kita orang yang diamanahkan untuk terus mendalami ilmu agama supaya perkara yang sama tidak berulang. Sebagai pengetahuan kepada para sahabat sila rujuk dalam kitab Iqna' M/S 410. Menjelaskan bahawa dibolehkan tayammum jika susah untuk dimandikan jenazah. Begitu juga dalam kitab Fiqh 4 mazhab Imam Al Jaziri menyebutkan tayammum mengantikan mandi jika tiada air atau susah dimandikan seperti mayat terbakar atau takut terputus badan. Walau bagaimanapun ini dibuat jika sekiranya renjis atau sirampun tidak dapat. (Rujuk M/S 458 jilid 1). Kita mengambil jalan selamat sekiranya ahli keluraga simati merasakan jenazah yang rentung ini kalau terkena air akan terputus atau hancur maka cukuplah dengan tayammum. Namun begitu sekiranya terkena air dengan cara disiram tidak menmudaratkan jenazah tersebut, siram adalah lebih baik.
Satu perkara lagi yang perlu diambil perhatian ialah tentang ada sahabat-sahabat yang merakam gambar jenazah. Saya nasihatkan supaya dihapuskan gambar tersebut ditelefon masing-masing kerana ini boleh menimbulkan banyak kesan yang tidak baik. Terutama sekali kepada keluarga simati. Mereka berusaha sedaya mungkin untuk melupakan peristiwa tragis itu tetapai bila mana gambar tersebut mereka perolehi ini mengembalikan ingatan sedih pada diri mereka. Disamping itu, kita memperolehi gambar tersebut pastinya tanpa kebenaran ahli kelaurga simati, dan berdosa andainya kita mengedarkan gambar tersebut sedang keluarga simati sikit pun tidak meredhainya. Maka hapuskanlah.
Sekian, semoga penulisan ini tidak menyinggung sesiapa. Ianya sekadar peringatan pada diri saya yang dhaif disisi Allah, dan peringatan kepada sahabat-sahabat. Kita adalah pemegang amanah dan kita bertanggungjawab untuk menyempurnakan setiap amanah yang Allah taklifkan kepada kita. Ambillah hikmah terhadap setiap pertiwa yang berlaku. Kepada keluarga simati, takziah daripada penulis. Sesungguhnya anda semua telah diangkat sedikit martabat keimanan oleh Allah diatas kesabaraan dengan ujian yang diterima.
Sekian. Wassalam........
No comments:
Post a Comment