Bismillahirrahmanirrahim.
Sahabatku sekelian, assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah dengan izinNya dapat diriku menulis artikel ini untuk tatapan Semua. Selawat dan salam buat junjungan mulia, Rasulullah SAW. Apa khabar semua? Semoga Sahabatku sekelian berada dalam keadaan sihat walafiat dan sentiasa menghubungkan hati dengan Allah SWT dan dekat padaNya.Sahabatku sekelian, Kita pemuda-pemuda Muslim perlu berjuang untuk menjadi individu unggul yang cemerlang demi Allah yang jadikan kita dan deen yang kita junjung ni.
Islam sangat menuntut umatnya mencari ilmu, mendalaminya...dan mengaplikasikannya demi kesejahteraan ummah, dan demi keunggulan ummah Islam keseluruhannya. Mungkin jika kita berusaha untuk cemerlang atas dasar kepentingan diri sahaja. Kita tidak jelas dan tidak bermotivasi. Tapi sekiranya kita jelas akan hakikat tuntutan terhadap diri, maka kita akan berusaha sungguh-sungguh kerana kejayaan itu bukan untuk diri kita sahaja, tapi kejayaan kita adalah kejayaan semua.
Kita perlu menunjukkan contoh yang baik demi Allah yang menjadikan kita, demi keredhaanNya, dan demi deenul Islam itu sendiri.Sahabatku yang dikasihi, keredhaan Allahlah yang kita dambakan dalam apa jua tindakan kita. Aku tahu memang payah, tapi perlu diingat perjuangan dalam kepayahan dan penuh istiqamah itulah jihad bagi kita. Dalam hal ini, aku nak ingatkan jagalah hati dan fikiran serta tindakan kita. Utamakan solat pada waktunya. Walau macam mana sibuk sekalipun kita, usahakan supaya dapat berjemaah di Masjid. Jangan biarkan muazzin sendirian melaungkan azan tanpa ada sahutan dari kita. Jangan tinggalkan zikir Al-Mathurat setiap pagi dan sentiasa bertadabbur al-Quran.Ingatlah ibadah yang sahih merupakan syarat untuk kejayaan kehidupan manusia, kita tak boleh meringan-ringankan soal ibadah. Hati yang sentiasa dekat dengan Allah dan sentiasa berzikir dan mengingatinya akan diberi rahmat dan keberkatanNya. Jadi apa yang kita usahakan selama ini, kita pulangkan kepada Nya untuk memberikan kepada kita natijahnya. Allah sayangkan pemuda-pemuda.
Mustaffa Mahsyur menyeru pemuda-pemuda dalam 'Fiqh Dakwah' kerana mereka adalah aset yang tinggi nilainya bagi meninggikan deen ini.Ingat tak?
Seorang yang alim yang selalu sujud kepada Allah selama 500 tahun dan apabila ia mati, Allah kata kepada malaikat, masukkannya ke syurga dengan rahmatKu. Lalu orang itu melarangnya dan meminta ia dimasukkan ke syurga atas amal-amalnya. Apabila malaikat mengiranya..tak cukup untuk melayakkan ia masuk syurga kerana jika dikira nilai amal manusia dengan anugerah Allah yang beri kepada kita sangat besar. Sujud 500 tahun tidak cukup membayar nilai sepasang mata untuk melihat. Jadi orang alim itu pun menyesal dan memohon pada Allah supaya masukkan ia ke syurga dengan rahmatNya.
Begitulah hakikat diri kita. terlalu kerdil. Orang mukmin perlu ada dua sifat ini yang mengiringi perjalanan hidupnya iaitu, sifat raji' dan sifat taqwa. Dua sifat ini iaitu takut dan berharap perlu ada dalam hatinya, barulah menjadi manusia yang sentiasa menharap redha Allah dan takut amal-amalnya tidak diterima. Sebenarnya, Allah nak tarbiah kita sebagai hambaNya supaya tidak terlalu yakin dan merasa puas hati dengan prestasi kita walaupun telah melakukan yang terbaik. Sahabat-sahabat pada zaman Rasulullah SAW sentiasa ada sifat ini sebab itulah Allah memberi kejayaan kepada mereka. Keberkatan dan rahmat Allah mengiringi mereka sehingga muncul generasi unggul yang tiada tolok bandingnya hingga kini.Tiada apa yang kita boleh banggakan dan berhak tuntut selain hanya boleh berusaha sekaligus memulangkan hasilnya kepada Allah SWT.
Hiasilah malam hari dengan solat sunat, munajat dan beristighfar kepada Nya. Itulah orang mukmin yang cerdik dalam erti kata sebenarnya. Cukup disini dulu coretan ku wahai sahabat, semoga kita menjadi pemuda-pemudi muslim yang telah dinyatakan oleh rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud:
“Aku berwasiat kepada kamu untuk menangani pemuda-pemuda dengan sebaik mungkin kerana mereka mempunyai jiwa yang senang dibentuk, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi seorang nabi dan rasul, yang membantu aku adalah pemuda-pemuda dan yang menentang aku adalah orang-orang tua.”
Jadi, sahabatku, nabi telah memberikan kredit pada kita. Tinggal lagi kitalah yang akan melaksanakannya. Sekian dari ku, sahabat dunia dan akhirat.
Wassalam
No comments:
Post a Comment