Salam Ramadhan
Dalam kemeriahan kita mengejar keberkatan dan kerahmatan Ramadhan yang semua kita sedang berada di dalammnya, kita juga sedang sama-sama menyambut hari kemerdekaan negara yang ke 53. Sambutan yang tak kurang juga hebatnya telah dirancangkan oleh semua pihak. Ada yang berkumpul di padang yang luas bagi menunggu detik 12 malam. Ada yang menyambutnya di kelab-kelab rekriasi dan sebagainya. Tak kurang juga ada yang menghabiskan masa di masjid atau surau dengan membaca yassin, solat sunat serta zikir. Apapun keadaan sambutannya, masing-masing ingin menyatakan bahawa kita semua telah merdeka.
Tapi, apakah patut bagi kita umat Islam yang sedang berada dalam bulan yang penuh rahmat dan keberkatan ini, menghabiskan masa dengan menunggu detik jam 12 malam bagi melaungkan perkataan merdeka. Sedang dalam masa yang sama, Allah s.w.t. yang memberikan kemerdekaan kepada negara ini mengharapkan agar hambanya mengejar 10 malam terakhir bagi memperolehi malam lailatu qadar. Apakah semua yang diperbuatkan ini menunjukkan kita telah benar-benar merdeka? Atau apakah istilah kemerdekaan yang kita laungkan itu hanya merdeka dengan erti kata bebas untuk melakukan apa saja sehinggakan melangkaui batas halal dan haram dalam beragama? Apakah ini kemerdekaan yang sebenarnya bagi mereka?
Kalau inilah apa yang dinamakan kemerdekaan, maka orang arab jahiliah adalah terlebih dahulu merdeka berbanding kita. Tak perlu lagi datangnya Nabi Muhammad s.a.w. bagi membebaskan mereka. Dan peristiwa Fathu Mekkah yang berlaku pada 10 Ramadhan tahun ke 6 hijrah akan dianggap sebagai satu penjajahan oleh nabi ke atas Mekah yang di perintah oleh penduduk mekah sendiri yang telah merdeka. Sedangkan semua kita ketahui bahawa kedatangan nabi bagi menyelamatkan dan membebaskan manusia pada masa itu dari belenggu penjajahan. Dan ayat dalam surah An Nasr jelas menunjukan bahawa nabi bukan menjajah tapi nabi membuka Kota Mekah.
Apa yang nabi bebaskan dan apa yang telah nabi buka? Nabi telah membebaskan manusia pada masa itu dari belenggu kejahilan kepada keimanan. Dari penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan kepada Allah yang esa. Pembukaan kota Mekah pula adalah sebagai satu kemerdekaan yang cukup bermakna kerana sebelum ini Kota Mekah dalam keadaan kegelapan dan sekelilingnya penuh dengan patung berhala sedangkan ianya adalah sebuah kota yang paling suci didunia. Setelah dimerdekakan Mekah menjadi tempat untuk menyembah Allah semata-mata dan telah bebas dari penyembahan patung berhala dan perkara-perkara yang penuh dengan kekurafatan.
Jadi, apakah yang telah kita perbuatkan sehingga meninggalkan perkara yang menjadi suruhan Allah yang jelas seperti mengejar malam lailatul qadar itu sebagai tanda sebuah kemerdekaan. apakah dengan kita menukar suruhan Allah dengan menganjurkan perbuatan Thoghut adalah satu kemerdekaan? Sedarlah kita semua dan termasuk penulis bahawa merdeka yang sebenarnya ialah apabila kita mampu menjadikan Allah semata-mata tempat tumpuan dan menjauhi perkara Thoghut sejauh-jauhnya.
Dan kemerdekaan yang lebih sebenar bagi sebuah negara pula, ialah apabila negara tersebut juga mampu manjadikan apa yang di suruh oleh Allah sebagai pegangan dan selainnya adalah thoghut dan perlu dibuangkan. Politik mesti mengikut apa yang di sarankan oleh Allah. Corak pemerintahan mesti corak pemerintahan yang disuruh oleh Allah dan menghukum juga mesti mengikut apa yang telah disyariatkan dengan jelas oleh Allah. Apakah semua ini telah terlaksana dalam negara kita? andainya sudah terlaksana,ini bermakna kita telah merdeka sepenuhnya. Tetapi, seandainya semua ini langsung tidak terdapat dalam negara kita, maka janganlah menganggap kita telah merdeka. Dan tidak ada maknanya kita menyambut sebuah kemerdekaan andainya semua perkara yang thoghut menjadi amalan dan pegangan kita.
Sekian terima kasih. Wassalam.
No comments:
Post a Comment