Berkesempatan menjejakan kaki di pulau Tambisan pada 07 - 10/09/2009 merupakan satu kenikmatan dalam berdakwah. Berkebetulan pula didalam bulan penuh keberkatan menambahkan lagi keseronokannya. Cita-cita untuk ke sana telah lama terpendam dan peluang yang ada telah digunakan sepenuhnya. saya bertemankan 2 orang sahabat Ust. Razak dan Ust. Salahuddin selaku ketua.
kami sampai di Pulau Tambisan tepat jam 2 petang. Seperti biasa kedatangan kami menimbulkan perhatian pelik penduduk setempat. Maklum kedatangan tak berundang, kehadiran tak berjemput maka ketibaanpun tak berkompang.
Sesampai di sana kami apa lagi terus ketempat penginapan sahabat yang bertugas di sana. Tuan rumah tak ada, tapi kebenaran menginap telah diperolehi jadi kami melampiaskan lelah sekejap setelah melalui satu perjalanan yang mangambil masa hampir 5 jam. Sebelum menunggu waktu berbuka masa yang ada kami gunakan untuk melihat sekeliling pulau. Udara nyaman yang agak kasar gurauannya amat menyegarkan sambil mata melihat sekeliling.
Alhamdulillah hari pertama berbuka dapat juga merasakan keenakan makanan bekalan Isteri ust Salahudin. Seusai menjamah sedikit juadah, kami bergegas ke masjid untuk memulakan ekspidisi dakwah kami. Ingatkan masjid tak berpenghuni rupanya sangkaan kami meleset apabila kelihatan 3 orang jemaah sedang rancak menghabiskan makanan berbuka mereka. Kesyukuran kami kepada Allah kerana memudahkan urasan kami apabila yang sedang berada di masjid itu adalah mereka yang mengepalai kepimpinan kampung.
Imam Mansur selaku imam masjid, Abang Ibrahim selaku pengerusi JKK dan Pak cik Sapari selaku peniaga kedai rucit di sini. Dalam sesi Taaruf kami memperkenalkan diri dan tempat asal. Secara sepontan Imam meyebut "Orang dato' Nik Aziz la ni" Kami terkejut dan bertanya, "kenal juga imam dengan dia". Imam menjawab "Apa tidak selalu keluar TV". Jadi terima kasih RTM dan TV3 kerana mempromosikan TG Nik Aziz.
Solat maghrib, saya diamanahkan untuk mengimaminya. setelah selesai kami dijemput untuk menjamah sedikit makanan yang mereka sediakan untuk berbuka. Peluang yang ada saya gunakan untuk meminta izin bagi program dakwah kami. Alhamdulillah semua permintaan kami termakbul malahan mereka sangat seronok. bukan itu sahaja mereka juga inginkan kami mengimamkan solat terawaih sepanjang kami disini.
Sepanjang 3 hari, sesi ceramah dan terawih berjalan sebagaimana yang kami rancangkan. Saya dengan ceramah berkisar tentang Nuzul Al quran. Ust Razak berkisar tentang Amalan Islam dan Ust Salahudin tentang kepentingan ilmu. respon yang kami perolehi dari ceramah adalah rata-rata mereka seronok. rupa-rupanya tak pernah ada sebelum ini ceramah seperti ini di sini. Alangkah kesiannya mereka sedangkan hampir 100% mereka adalah penduduk Islam.
Di sini tiada kemudahan elektrik. Bagi yang berkemampuan mereka mempunyai generetor dan masjid menunpang generetor pak cik Sapari. itupun untuk solat maghrib dan isyak. waktu lain imam terpaksa azan tanpa kedengaran oleh sekeliling kerana speakar tak berfungsi sebab generetor tak terpasang. Pada subuh keesokannya dengan bertemankan cahaya lilin kami sempat menyelongkar sejarah kadatangan Islam kepulau ini. Imam Mansur bercerita bahawa Mak ayah dan datuk nenek meraka sebenarnya kuat mengamalkan cara hidup Islam. Seorang pendakwah dari Yaman yang bernama Syeikh Ghani adalah yang bertanggungjawab mendidik mereka. Syeikh Ghani mendidik mereka sehingga lah beliau meninggal dunia di sini. begitulah hebatnya pendakwah dahulu sanggup berkorban jiwa dan tenaga demi Islam. Pendakwah sekarang kalau kurangnya habuan maka dakwahpun longlailah.
Bukti Islam pernah diamalkan sepenuhnya disini apabila beliau menceritakan tentang Tun Sakaran Dandai yang pernah berkerja sebagai pegawai di sinibanyak terhutang budi kepada penduduk di sini yang banyak mengajarkan kepadanya kehidupan Islam.
Setiap petang pula, selepas selesai memberi tunjuk ajar pada Imam Mansur cara bacaan Al Quran dan sebelum menunggu berbuka puasa kami ada aktiviti yang menguji kesabaran. Mengumpan hidupan laut di jeti(Memancing la). Sempat 3 petang memancing, memang menguji kesabaran kerana ikan cukup malas makan umpan. mungkin mereka berpuasa sama. Apapun Alhamdulillah dapat juga 2 ekor. Kira johan la kerana lebih besar berbanding Ust Salahudin.
Aktiviti ziarah juga amat menyeronokkan kerana kami dilayan dengan penuh ramah. Tapi perasaan sedih dengan kehidupan mereka menerjah ruang hati apabila melihat sesetengah rumah yang terlalu dhaif. Inilah nasib nelayan. Memang apa yang diceritakan oleh Nik Madihah tentang kedhaifan rumahnya sebagai rumah nalayan ada benarnya. Dan kami pula hanya meniti jambatan usang yang dibawahnya air laut sedang pasang. Nampak keakraban kehidupan mereka apabila rumah mereka bersambung antara janbatan dengan jambatan. Kelihatan anak-anak yang bermain pondok2 di ruang yang cukup terhad. Pakaian mereka usahlah dikira. harap pihak-pihak yang bertanggungjawab ambil perhatian nasib mereka ini. Anak nelayan ini mesti dibela supaya lebih ramai lagi Nik Madihah akan lahir dari suasana kedhaifan rumah nelayan. Yang paling kasihan apabila ada juga yang tanpa segan silu meraka minum dan merokok disiang hari. Malahan jumlah ini yang lebih ramai kalau mengikut perhatian kami. Apa boleh buat kerana kesedaran agama mereka cukup lemah. Ini diceritakan sendiri oleh Imam Mansur.
Setelah 4 hari 3 malam disini tiba masanya kami bermohon untuk pulang. Kami berjanji pada Imam Mansur dan JKK Abg Ibrahim bahawa kami akan datang lagi dengan agenda yang lebih besar. Abg Ibrahim meminta supaya kami jangan lupakan mereka dan tanda persahabatan yang terjalin kami dianugerahi rezeki oleh Allah melalui Abg Ibrahim dengan 2 kilo setiap seorang Udang Kertas percuma yang kami nampak semuanya gred A sebab melihat pada saiznya yang besar.
Berdasarkan pemerhatian yang telah dibuat. Pulau Tambisan sangat subur untuk dakwah. Penduduknya yang dahagakan ilmu agama sangat mudah untuk kita dekati. Manakala pemimpin masyarakat setempat pula sangat memberikan kerjasama. Oleh itu, ayuh sahabat2 kita rancangkan satu agenda, pulau tambisan yang subur ini kita dekati dan kita sirami dengan roh islam. Kalau tenaga anda tidak mampu, sediakan bekalan kebendaan untuk kami berlabuh kembali di sana dengan semangat yang lebih gagah. Sahabat2 di kejauhan doakan kami berjaya.
Salam ramadhan dan salam Aidilfitri kepada semua penduduk Pulau Tambisan. Terima kasih kerana mengajarkan kepadaku erti kepayahan dan kegigihan sebuah dakwah.
1 comment:
Assalammualaikum ustaz... syukur alhamdulillah kerana atas kedatangan ustaz bertiga ke kampung tambisan yang mana saudara2 di sana amat memerlukan orang2 seperti ustaz bertiga.. selepas era syeikh Abdul Ghani rakan2 serta murid2 beliau, saudara2 di kampung tersebut semakin kurang atau terkebalakang sedikit dari segi saluran maklumat dan juga ilmu2 pengatahuan agama tidak dinamik.. saya adalah anak kelahiran tambisan yang sudah menetap di daerah lain.. saya harap keadaan sebegini akan sentiasa berlaku di kampung tesebut demi mengembalikan kekukuhan beragama pada saudara2 di tambisan seperti dahulu.
Post a Comment