SELAMAT MENYAMBUT MAULIDURRASUL S.A.W. SEMOGA KITA SEMUA SENTIASA ISTIQAMAH DALAM MERIALISASIKAN SUNNAHNYA DAN MENJADI MATA RANTAI PERJUANGAN BAGINDA NABI S.A.W.
Saturday, February 19, 2011
Kasihkan Rasulullah, Bagaimanakah?
Syukur kepada Allah yang masih lagi memberikan kepada kita nikmat Islam dan Iman serta usia yang panjang yang dengannya kita semua mampu untuk meraikan 12 rabiulawal untuk kali yang ke 1432. 12 rabiulawal mengikut pendapat yang paling soheh adalah tarikh kelahiran nabi kita Muhammad s.a.w. Sejarah sambutan maulidurrasul adalah diasaskan oleh kerajaan Fatimiah di Mesir. Walaupun ada berbagai pendapat tentang hukum merayakan maulidurrasul, tetapi ianya tidaklah diharamkan sepenuhnya dikebanyakan Negara umat Islam. Berbagai program dirancang dan dilaksanakan dengan tujuan untuk melahirkan rasa kasih kepada baginda Nabi s.a.w. Antara program yang selalu kita lihat bilamana sambutan maulidurrasul ini diadakan iaitu diadakan perarakan, diadakan bacaan marhaban, diadakan syarahan dan akhir sekali makan.
Benarkah semua ini diprogramkan sebagai tanda kasihkan Rasulullah? Benarkah dengan perarakan, marhaban, syarahan yang sekejap dan makan boleh melahirkan perasaan kasihkan rasulullah? Artikel ini bukan bertujuan untuk melarang diadakan sambutan maulidurrasul malahan penulis sendiri terlibat sama dalam mengadakan beberapa siri ceramah maulidurrasul tetapi yang nak dijelaskan disini bagaimanakah cara yang sebenarnya kita ingin melahirkan tanda kasih kita kepada baginda nabi s.a.w. yang bukan hanya pada 12 rabiulawal tetapi juga pada setiap waktu dan ketika.
Apa yang kita lihat, suasana sekarang menampakkan kita hanya menunjukkan nilai kasih dan sayang kita pada nabi hanya pada sambutan kelahiran nabi Muhammad S.A.W iaitu pada rabiulawal semata-mata. Ini kerana kita menghabiskan banyak duit ringgit dan tenaga demi perarakan, jamuan makan dan sebagainya. Apakah perarakan semata-mata boleh menunjukan nilai kasih kita kepada baginda nabi. Kalau perarakan dapat menunjukkan nilai kasih kita kepada nabi maka baik lagi Abu Lahab kerana gembiranya dia dgn kelahiran baginda nabi lalu berarak mengelilingi kaabah sebanyak 7 kali. Kalau jamuan sebagai tanda kasihkan nabi maka apa kurangnya abu lahab yang menyembelih 10 ekor unta sebagai tanda kelahiran baginda rasulullah. Begitu juga dengan marhaban dan berzanji yang dibaca dengan penuh lenggok dan gaya. Tapi apapun yang dibaca, langsung tak difahami oleh sesetengah orang. Mungkin syarahan ada juga sedikit nilai padanya kerana dapat memberi sedikit ilmu dan pengetahuan kepada yang hadir mendengar. Tapi mampukah kita melahirkan tanda kasih andai yang hadirpun ada yang tak bertudung. Kalau bertudungpun hanya menutupi jambul di depan sahaja.
Nabi bersabda dengan mafhumnya, “Barang siapa yang tidak mengikut sunnahku bukan daripada umat ku.” Inilah tanda aras kita tentang kasihnya kita kepada baginda Nabi S.A.W. Mengamalkan sunnah nabi adalah paling utama dalam kita menunjukkan kita kasihkan nabi. Apakah dengan kita menyambut maulidurrasul adalah sunnah nabi. Sudah tentu jawapan tegasnya adalah tidak. Sebabnya nabi tak pernah melakukan semua ini. Mengamalkan sunnah nabi pula bukan terpilih kepada apa yang memberi munafaat kepada kita semata-mata atau setiap apa yang dirasakan bersesuaian dengan keinginan kita. Tapi meliputi semuanya yang termampu kita amalkan. Bermula dari corak berpakaian yang paling senang kepada membina sebuah Negara. Adakah ini telah berjaya diamalkan oleh mereka yang menganjurkan sambutan maulidurrasul untuk menunjukkan tanda kasih kepada nabi? Apa yang penulis lihat disepanjang sambutan maludurrasul yang dianjurkan pakaian yang dikenakan tidak menepati sunnah. Pergaulan yang tidak berbatas antara lelaki dan perempuan. Ini peringkat yang agak mudah sebagai satu sunnah tetapi inipun semacam tak mampu dihayati untuk diamalikan.
Nabi Muhammad s.a.w. telah membawa bersamanya syariat Islam yang syumul. Bersamanya ada ibadat samada wajib ataupun sunat. Solat, ada yang wajib dan ada yang sunat begitu juga ibadat yang lain seperti puasa dan zakat. Nabi yang kita kasih telah bersusah payah membawa kepada kita Ibadat solat semasa Israk dan Mikraj. Nabi yang kita kasih juga semasa Rohnya yang mulia akan bercerai dengan badannya yang mulia itu sentiasa menuturkan “as-solah, as solah, as solah”. menunjukkan kepada umatnya akan kewajipan bersolat. Tetapi sejauhmana kita yang mengaku kasihkan nabi merasakan solat ini penting? Kita yang mengadakan sambutan maulidurrasul dalam suasana yang sangat gemilang ini, sejauh mana telah memperelokkan solat samada pada rukun Qauli. Fi’li atau Qolbi. Belum lagi kita membicarakan soal solat jemaah. Yang bukan hanya menjadi perkara yang wajib kifayah tetapi tidak pernah ditinggalkan oleh nabi s.a.w. Janganlah mengaku kitalah yang paling kasihkan nabi bila dengan gah menyambut maulidurrasul kemudian mempertikaikan sambutan orang lain yang tidak meriah andai solat jemaah tak mampu kita laksanakan walau hanya satu waktu sahaja. Ayuh yang kasihkan nabi, buktikan kita benar-benar kasihkan nabi sebagaimana Nabi terlalu sayangkan umatnya. Ini jelas dan nyata apabila disaat roh sampai di kerongkong Nabi masih lagi menyebut “Ummati, Ummati”. Dan disaat pedihnya sakaratul maut nabi sempat berdoa supaya umatnya tidak terlalu pedih, sakit dan payah semasa sakaratul maut. Buktikan kasih kita dengan kita mengamalkan sunnah nabi setakat yang termampu, amalkan segala yang diwajibkan dan tinggalkan segala apa yang dilarang. Selalu berselawat kepada Nabi kerana dengannya kita yang memperolehi nikmat dari selawat tersebut. Sekali sahaja dalam kemalasan kita Allah akan berselawat kepada kita 10 kali.
Semoga sambutan maulidurrasul yang akan datang lebih bermakna dan bernilai serta lebih menaikkan nilai kasih yang sebenar kita kepada nabi s.a.w dengan kita mengamalkan segala sunnahnya, melakukan segala yang diwajibkan serta meninggalkan segala apa yang telah dilarang.
Wallahu a’lam.
Semoga kita semua mendapat syafaatdaripada Nabi Muhammad s.a.w. di akhirat nanti.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment