Pages

Thursday, June 4, 2009

Berita Kemalangan Ayahnda Tercinta

Malam ini, sedang asyik melayari internet untuk melihat siaran langsung forum perdana di tapak muktamar ke55, tiba-tiba diri ini disentak dengan deringan telefon usang. Sudah la siaran langsung tak dapat tengok, telefon pula ganggu. Tengok nama yang tertera adalah nama salah seorang adik di kampung. Hati mula berdebar dan jantung berdegup kencang.
"kenapa pula malam begini telefon."
Bila diangkat rupa-rupanya apa yang dirisaukan betul berlaku. Adik dalam tangisan menyatakan ayahnda tercinta kemalangan. sekarang tak sedarkan diri.
"oh! ujian apa pula ini? diri ini tergamam sebentar. kelu dan kaku. kuatkan juga langkah kedepan isteri tersayang untuk menyampaikan berita. Dengan nada bergetar dan sedikit tangisan diri ini mengumpulkan kekuatan untuk menyatakan berita yang baru diterima. Mendengar berita isteri juga terkedu.
Yang terpancul spontan dimulut kami, "ya Allah! selamatkan ayahnda tercinta". Di kejauhan ini itu sahaja yang mampu kami ungkapkan. Hanya Allah tempat mengadu dan memohon belas ihsan. Dengan sedikit kekuatan yang masih berbaki diri ini melangkah mengambil wuduk untuk tidak lain melainkan menambahkan lagi munajat kepada Allah. Solat taubat dan hajat dikerjakan dan tangan ditadah memohon Allah selamatkan Ayahnda tersayang. Rupanya manusia perlu diuji dan dengan ujian itu bila sahaja menyebut, Allah! air mata mengalir menandakan dengan ujian tersebut baru kita yakin kekuasan Allah. Selepas itu bacaan yasin dialunkan dalam nada tangis dan sayu sambil ingatan menerawang mengingati kembali kenangan indah bersama Ayahnda tersayang.
Beginilah suasananya bila duduk berjauhan yang dipisahkan oleh laut china selatan. Berita sedih diterima, hanya Allah tempat mengadu dan memohon. Nak serta merta pulang kena melihat kepada tiket kapal terbang ada atau tidak. Sebelum ini kawan dah ramai yang menghadapi suasana yang sama. Ada sebelum ini 3 hari ayah meninggal baru dapat dihubungi kerana berada di Ulu kinabatangan. Apalah gunanya elaun pendalaman yang diwar-warkan oleh kerajaan yang tinggi kerana semua itu tidak dapat membayar kehilangan kasih sayang seorang anak dengan ibubapanya. Diri ini untuk kesekian kalinya mengharapkan bonda dan ayahnda faham tugas anaknda disini.
Selesai bacaan yasin, dapat berita terbaru ayahnda telah sedar dan dapat berkomunikasi dengan doktor yang merawat. Alhamdulillah, segala kesyukuran kupanjatkan pada mu ya Allah. Kepada bonda dan adik-adik bersabarlah, inilah yang dipanggil ujian untuk menguji sejauh mana tingginya iman kita.
Ayahnda pula kemalangan dengan kereta kawan sepermainan sejak kecil yang dipandu oleh pekerjanya. Apa boleh buat anggaplah ini ketentuan Allah. Kalau ayahnda bersalah diri ini memohon berbanyak kemaafan dan kalau pemandu yang membawa kereta itu yang salah, diri ini mengharapkan semua ahli keluarga dapat memaafkan ia. Takkan kerana satu kemalangan ini kita satu kampung dan pula kawan sepermainan dari kecil akan bergaduh. Ingatlah, semuanya daripada Allah dan kalau kita tidak dapat terima hakikat ini, seumpama kita menafikan hak Allah yang maha berkuasa atas sesuatu.

Wassalam... Semoga ayahnda tercinta dalan keadaan selamat dan mendapat keberkatan Allah. Bagitu juga dengan kita semua.

1 comment:

Anonymous said...

Insyaallah..ayahnda tercinta dirahmati Allah dan diberikan kesabaran dalam menghadapi dugaan yang diberikan..Semua yang berlaku adalah ketentuan dariNya..kita hanya mampu merancang, namun Allah yang menentukan segalanya.. semoga dengan ujian ini, kita menjadi lebih tabah dan lebih menghargai insan yang tersayang..