Pages

Friday, May 14, 2010

Sajak Hari Guru 2010

Guru Pembina Negara Bangsa

Di celah gelegar kepayahan
Bersama keriokan rindu mencekam
Kegegeran bunyi enjin sangkut
Gelinciran batuan dan kepulan asap debu,
Lambaian jemari daun sawit
Bertingkah alun irama unggas
Bersusun atur hempasan ombak laut sulu.
Memukul lembut sunyian pantai.

Ombak dada kencang menghempas
Bertari lentok olakan tinggalan enjin sangkut
Bersemut pinggul,
Berkebas lutut paha,
Hati bergetar mencipta rasa,
Takut, resah, rindu dan payah…
Kuatkan semangat wahai hati,
Kuatkan jiwaku ya Rabbi,

Jangan gentar libasan buaya
Kederasan arus dan kepanasan cuaca,
Masakan anak-anak Balat, Kuamut dan Desa Permai,
Dibiar tanpa arah, tanpa tunjuk dan cara.
Ini tugas Ku,
Ini amanah Ku,
Kerana akulah Murabbi,
Pembina Negara bangsa.


Bersama deruan enjin pairet
Diatas bentangan karpet berbatu kerikil
Di celah-celah lambaian jemari daun sawit
Sambutan rindu sang belali
Mengamit mesra mengukuh persahabatan
Kecut perut, nadi berombak,
Takut, resah, rindu dan payah,
Hati berbicara seribu bahasa,
Apakah kan ku biarkan,
Keikhlasan, kelayuan dan jernih mata,
Anak-anak Tabin, lintang, Sri Ganda dan Sungai Bendera,
tanpa tunjuk cara dan sopan kata,
Ini Tugas Ku,
Ini amanah Ku,
Kerana akulah Muaddib,
Pembina Negara bangsa.

Berkolek arus ombak laut sulu,
Bergadai nyawa ibarat kata sang nelayan,
Takut, resah, rindu dan payah,
Namun kenakalan,
Anak-anak Tundung Bohangi dan Abai,
Akan tetap di tatang,
Bersama kiluan buih hempasan ombak di pantai
Moga-moga kelak dewasa nanti
Mereka mampu menyusun kata,
Mengukir buih ombak menjadi mutiara
Ini tugas ku,
Ini amanah ku,
Kerana akulah muallim,
Pembina Negara bangsa.

Setaguh manapun ketakutan,
Setinggi manapun keresahan,
Sekuat manapun cengkaman rindu,
Walau seribu kepayahan terbentang,
Akan ku hayuti di aliran sungai Kinabatangan,
Akan ku campakkan ditengah hijauan ladang sawit,
Akan ku lontar jauh ketengah laut sulu,
Kerana aku adalah murabbi,
Aku adalah muaddib,
Aku adalah muallim,
Aku adalah guru
Pembina negara bangsa.



Sajak Nukilan Oleh:
Ust. Zulkarnain Bin Mohd Noh
SK. Sentosa Jaya,
Wdt 227, 90200, Kinabatangan. Sabah.

Hari guru 2010.

Friday, April 30, 2010

Pekerja, Carilah Rezeki Yang Berkat.

Suatu hari ketika baginda Rasulullah s.a.w duduk-duduk dengan para sahabat, mereka terlihat seorang anak muda sedang bekerja dengan penuh bersemangat.Seorang sahabat lalu berkata,

“Kasihan anak muda itu. Alangkah bagusnya kalau usia muda dan kekuatannya di gunakan untuk fisabilillah.” Kata beberapa orang sahabat semasa berada dalam majlis bersama baginda Rasulullah.

Mendengar ucapan itu, lalu Rasulullah bersabda,

“Jangan kamu semua berkata demikian, sebab org itu kalau keluarnya dari rumah untuk bekerja bagi mengusahakan kehidupan anaknya yang masih kecil, maka dia telah berusaha fisabilillah.Jika dia berusaha untuk dirinya sendiri, tidak sampai meminta-minta kepada orang lain, itu pun fisabilillah.Tetapi kalau dia bekerja untuk menunjuk-nunjuk apa-apa yang dimilikinya atau untuk bermegah-megah maka itu lah fisabilis syaitan atau kerana mengikut jalan syaitan.”
(Riwayat At-tabrani)

Justeru bagi lelaki atau wanita, berusahalah dengan keringat sendiri kerana itulah sebaik-baik rezeki. Berusahalah juga dengan ikhlas. Keikhlasan yang lahir dari hati akan menghapuskan jerih, penat dan kepayahan yang ditanggung sepanjang hari kita bekerja. Walau serendah mana sekalipun pangkat kita dalam setiap sektor pekerjaan yang kita usahakan, andai kita berniat kerana mendapatkan keredhaan Allah dan rezeki yang halal disamping hati sentiasa ikhlas kerana Allah, nascaya pangkat kedudukan bukan ukuran bagi semua itu.

Ingatlah, hasil dari kerja kita sedikit upahannya, tetapi halal akan mendapat keberkatan dan terasa kecukupannya. Lalu dibawa balik ke rumah untuk dijadikan darah daging anak-anak dan isteri. Anak-anak yang dibesarkan dari sumber yang halal pastinya terbentuk sahsiah diri yang baik dan beriman. Tetapi andai upahan yang diperolehi banyak dan melimpah ruah tetapi dari hasilan yang tidak mencapai standard kualiti islam yang sebenar iaitu melalui rasuah atau paling tidak langsung tiada keikhlasan kepada Allah, manakala hasilan ini dibawa balik ke rumah untuk dijadikan darah daging anak-anak dan isteri, bayangkanlah macam manakah sahsiah anak yang dapat dibentuk.

Terlalu banyak contoh dihadapan kita, bagaimana seorang kerani yang bergaji hanya RM1000 dapat membesarkan 11 orang anak yang kesemuanya berjaya dan menjadai anak yang baik. Dan satu contoh yang lain, bagaimana seorang pegawai tinggi ditempat kerja yang sama dengan kerani itu gagal membentuk hanya 5 orang anak untuk menjadi anak yang baik dan cemerlang. Apakah kerana kerani ini dapat menyediakan pendidikan yang sempurna kepada anak-anaknya manakala pegawai tinggi tadi tidak mampu berbuat demikian? Jadi, disinilah konsep rezeki yang berkat dan tidak berkat patut kita nilaikan kembali.

Semoga, hari pekerja tahun ini disambut bukan hanya sebagai meraikan 1 mei, tetapi biarlah disambut dengan penuh keinsafan dan kesedaran bahawa kita sebagai pekerja wajib memikirkan tentang halal dan haramnya atau berkat atau tidaknya rezeki yang kita perolehi daripada upah pekerjaan kita. Dan inilah yang akan kita gunakan untuk membesarkan anak-anak kita. Jangan juga lupa bahawa dunia adalah jambatan ke akhirat. Maka, pekerjaan harian kita andai niat kerana ibadat kepada Allah juga akan dikira pahalanya di akhirat nanti.InsyaAllah.

Sekian, wassalam.

Selamat menyambut hari pekerja, 1 mei 2010.