Pages

Sunday, June 13, 2010

Sinopsis Ucapan Tuan Guru Di Perasmian Muktamar 3 Dewan. (Ulamak, Pemuda dan Muslimat)

"Perjuangan Islam yang kita galas pada hari ini bukanlah satu pilihan, tetapi ia merupakan satu kewajipan yang terpikul di atas bahu kita semua."

"Sesungguhnya, ideologi PAS ialah Islam. Tanpa Islam, PAS umpama jasad tanpa nyawa. Justeru, saya sekali lagi ingin mengingatkan bahawa perjuangan kita bukan bermula pada hari ini, ia merupakan perjuangan yang dimulakan oleh para anbiya’ yang terdahulu. Kita hanyalah mata rantai di dalam perjuangan ini, kita mempusakainya dari generasi yang terdahulu, dan kita menyambung mata rantai itu serta akan mewariskannya pula kepada generasi yang terkemudian."

"Siasah PAS adalah politik-dakwah. Maka, kita bergerak sebagai parti politik dan kita berdakwah (berkempen) ketika bertanding dalam pilihan raya dan selepasnya demi mencapai cita-cita untuk mempersembahkan Islam yang sebenar kepada masyarakat. Dalam perjuangan inilah, PAS telah melalui sejarah panjang yang dipenuhi dengan peristiwa jatuh bangun di dalam arena politik-dakwah."

"Perjalanan kita masih panjang, noktah perjuangan kita masih jauh. Namun, tanda-tanda kemenangan sudah kelihatan. Walaupun guruh di langit bukan menandakan hujan akan turun, namun sekurang-kurangnya harapan ada untuk menyaksikan kemarau akan berakhir."

"Demi memastikan orang-orang Melayu turut bersama kita di dalam pelayaran bahtera perubahan ini, PAS perlu bergerak dengan lebih efektif agar diterima rakyat. Jika ditanya Kelantan apakah formulanya, saya suka menjawab bahawa formulanya ialah mendidik jiwa rakyat dengan agama, suburkan sanubari mereka dengan taqwa kepada Allah agar hati mereka tidak mati, tidak keras untuk menerima siraman hujan kebenaran."

"Alhamdulillah, saya melihat fobia terhadap PAS sudah terhapus di kalangan orang-orang bukan Islam. PAS sebelum ini dijadikan sebagai hantu oleh UMNO untuk menakutkan Nonmuslim. Hantu itu sudah tidak wujud lagi, bahkan jika ia wujud juga, maka UMNO-lah hantunya. Tinggalkanlah UMNO dengan labu-labu kebangsaannya. PAS perlu terus melihat ke hadapan mengorak langkah memperkenalkan Islam sebagai cara hidup yang lurus."

"Sebarkanlah keyakinan kepada masyarakat bahawa hidup ini tidak hanya tamat setakat di dunia sahaja, tetapi akan dinilai semua amalan di akhirat kelak. Jika masyarakat dapat diyakinkan dengan aqidah ini, saya yakin perjuangan PAS secara automatik akan diterima kerana inilah tujuan sebenarnya PAS bergerak."

(Ulasan Ringkas Sinopsis Dari Diri Ini Yang Kekerdilan Ilmu)

• Kepada semua perwakilan dari ketiga-tiga dewan yang telah di dirasmikan, perlu mengambil serius ucapan YAB Dato’ Bentara Setia TGNA andai kita ingin manggapai cita-cita murni memartabatkan Islam dengan lebih menyeluruh di Negara ini dengan kita menawan singgahsana di Puterajaya.

• Kita juga mesti menyedarkan bangsa yang seagama dengan kita bahawa, kebersamaan mereka dengan kita amat perlu bagi memperkasakan lagi Islam melalui sekongan yang mampu memejoritikan setiap apa yang dicadang dan dirancangkan.

• Kita juga kena berkeyakinan bahawa perjuangan kita ini mempunyai banyak liku, mehnah dan tribulasinya. Kerana itu Allah menyediakan kepada kita satu kedudukan yang hebat disisinya. Keyakinan ini perlu kita war-warkan dan fahamkan kepada semua ahli dan penyokong agar semangat perjuangan yang ada pada diri mereka benar-benar kukuh dan mantap.

• Tanamkan kepada semua rakyat disemua peringkat bahawa kita hidup didunia hanya sementara,dan kekekalan hidup di akhirat nanti memerlukan hasil tuaian yang banyak semasa didunia. Ayuh kita semua mengajak mereka bersama kita membajak, manabur, menyiram dan akhirnya kita mampu menuai hasilnya di akhirat melalui wadah Parti Islam Semalaysia (PAS).

Monday, May 31, 2010

Aurat Seorang Wanita

Aurat diambil dari perkataan Arab 'Aurah' yang bererti keaiban. Manakala dalam istilah fiqh pula aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan.

Aurat lelaki pada bila-bila masa dan apabila bersama-sama sesiapa pun adalah sama iaitu antara p...usat dan lutut. Tetapi bagi wanita terdapat perbezaan dalam beberapa keadaan antaranya:

1. Aurat Ketika Sembahyang
Aurat wanita ketika sembahyang adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.

2. Aurat Ketika Sendirian
Aurat wanita ketika mereka bersendirian adalah bahagian anggota pusat dan lutut. Ini bererti bahagian tubuh yang tidak boleh dilihat adalah antara pusat dan lutut.

3. Aurat Ketika Bersama Mahram/Orang yang Tidak Boleh Di Kahwini
Pada asasnya aurat seseorang wanita dengan mahramnya adalah pusat dan lutut. Walaupun begitu wanita dituntut agar menutup mana-mana bahagian tubuh badan yang boleh menaikan syahwat lelaki walaupun mahram sendiri. Perkara ini dilakukan bagi menjaga adab dan tata susila wanita terutama dalam menjaga kehormatan agar perkara-perkara sumbang dan tidak diingini tidak akan berlaku. Oleh itu, pakaian yang labuh dan menutup tubuh badan digalakkan walaupun semasa bersama mahram adalah pakaian yang lengkap dan labuh.

Syarak telah menggariskan golongan yang dianggap sebagai mahram kepada seseorang wanita iaitu:

1. Suami
2. Ayah, termasuk datuk belah ibu dan bapa.
3. Ayah mertua
4. Anak-anak lelaki termasuk cucu samada dari anak lelaki atau perempuan
5. Anak-anak suami. Dalam perkara ini Islam mengharuskan isteri bergaul dengan anak suami kerana wanita tersebut telah dianggap dan berperanan sebagai ibu kepada anak-anak suaminya.
6. Saudara lelaki kandung atau seibu atau sebapa.
7. Anak saudara lelaki kerana mereka ini tidak boleh dinikahi selama-lamanya.
8. Anak saudara dari saudara perempuan.
9. Sesama wanita samada ada kaitan keturunan atau yang seagama.
10. Hambanya Sahaya.
11. Pelayan yang tidak ada nafsu syahwat.
12. Anak-anak kecil yang belum mempunyai syahwat terhadap wanita. Walau pun begitu, bagi kanak-kanak yang mempunyai syahwat tetapi belum baligh, wanita dilarang menampakkan aurat terhadap mereka.

Imam Syafie berpendapat; perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat di atas terbahagi kepada dua makna iaitu:
1. Perhiasan yang bersifat semula jadi seperti muka, pipi, mulut, mata, bibir, hidung, kaki, betis, peha dan lain-lain anggota.
2. Perhiasan seperti pakaian, alat-alat solek, cincin, rantai leher, gelang kaki dan sebagainya.

4. Aurat Ketika Di Hadapan Lelaki Bukan Mahram/ Yang sah di kahwini
Kewajipan menutup aurat di hadapan lelaki bukan mahram adalah amat penting dan perlu dilaksanakan oleh setiap wanita, bagi mengelak daripada berlaku perkara yang tidak diingini seperti rogol dan sebagainya. Perkara ini terjadi disebabkan memuncaknya nafsu para lelaki akibat dari penglihatan terhadap wanita memakai pakaian yang tidak senonoh dan mendedahkan sebahagian tubuh badan mereka.
Wanita yang bersuami pula, dengan terlaksanakan kewajipan ini, akan dapat membantu suami, yang mana dosa seorang isteri yang membuka aurat akan ditanggung oleh s.u.a.m.i. Oleh itu, wanita-wanita perlulah memahami batas-batas aurat ketika berhadapan dengan orang-orang yang tertentu dalam keadaan yang berbeza-beza.

5. Aurat Ketika Di Hadapan Wanita Bukan Islam
Aurat wanita apabila berhadapan atau bergaul dengan wanita bukan Islam adalah tutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan. Rasulullah S.A.W. bersabda dalam sebuah hadis yg bermaksud: Abdullah bin Abbas ada menyatakan, Rasulullah S.A.W. bersabda yg maksudnya: "Tidak halal kaum wanita Islam itu dilihat oleh kaum Yahudi dan Nasrani".
Ini adalah kerana dikhuatiri wanita bukan Islam boleh mendedahkan perwatakan tubuh badan dan aurat wanita muslimah kepada rakan-rakan lelakinya yang bukan Islam mahupun yang beragama Islam.

6. Aurat ketika Bersama Suami
Apabila seorang isteri bersama-sama dengan suaminya di tempat yang terlindung dari pandangan orang lain, maka Islam telah memberi kelonggaran dengan tiada membataskan aurat pada suaminya. Ini bererti suami dan isteri tiada sebarang batasan aurat terhadap mereka berdua. Isteri boleh mendedahkan seluruh anggota badannnya bila berhadapan dengan suaminya.

Mu'awiyah bin Haidah mengatakan: "Aku pernah bertanya: Ya Rasulullah, bagaimanakah aurat kami, apakah boleh dilihat oleh orang lain?". Baginda menjawab: "Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau terhadap hamba abdi milikmu". Aku bertanya lagi: "Ya Rasulullah, bagaimanakah kalau ramai orang mandi bercampur-baur di satu tempat?" Baginda menjawab: "Berusahalah seboleh mungkin agar engkau tidak boleh melihat aurat orang lain dan ia pun tidak boleh melihat auratmu". Aku masih bertanya lagi: "Ya Rasullullah, bagaimanakah kalau orang mandi sendirian?" Baginda menjawab: "Seharuslah ia lebih malu kepada Allah daripada malu kepada orang lain". (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Dawud)