Pages

Friday, December 31, 2010

Hukum Sambutan Tahun Baru Masehi

Soalan
Saya pernah terbaca bahawa haram bagi kita umat Islam menyambut perayaan Tahun Baru pada malam 31 Disember? Apa pandangan ustaz dalam perkara ini?


Jawapan

Pertamanya, sebagai umat Muhammad SAW, kita di ajar untuk mengira peredaran hari menggunakan bulan Islam, ia terlebih afdhal. Pengiraan zakat perlu menggunakan bulan Islam bagi mengetahui "hawl" (tempoh wajibnya) sudah sampai atau belum. Justeru, secara umumnya adalah lebih baik untuk kita mengingati bulan Islam ini bagi terus menjaga identiti Islam yang tersendiri. Islam juga telah meletakkan dua hari raya yang patut disambut dan dirayakan oleh Umat Islam iaitu Eidil Fitri dan Eid Adha.
Oleh itu, sebarang sambutan majlis lain mestilah tidak menyerupai sambutan perayaan dua hari raya Islam tadi. Islam juga terbuka dalam menilai sambutan keraian yang tidak bersifat keagamaan, diterima adat dan tiada unsur yang bercanggah dengan hukum dalam sambutannya.

Tidak dinafikan bahawa terdapat para ulama yang mengharamkan sama sekali sambutan tahun baru dalam apa jua bentuk. Namun, menyambut tahun baru Masehi (yang mengikut kiraan Gregorian calendar ciptaan Pope Gregory), menurut pandangan saya, ia adalah HARUS secara bersyarat serta bergantung kepada cara sambutan dan keraian yang dibuat.

Walaupun kalendar masehi adalah ciptaan bukan Islam, namun melihat kepada penerimaan kalendar moden ini, ia tidak lagi kelihatan bersangkut paut dengan agama malah amat ramai yang tidak lagi mengetahui dan ambil endah tentang asal usulnya, apatah lagi kaitannya dengan mana-mana agama. Ia sudah dikira sebagai sebuah kalendar moden yang diterima di atas asas adat dan kebiasaan. Namun begitu, syarat-syarat seperti berikut mestilah diambil perhatian dalam sambutannya:-

* Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau ‘Adat dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan. Jika ia diasaskan atas dasar ibadah maka ia perlu mempunyai sandaran dalil yang jelas. Bagaimanapun jika menyambutnya atas asas adat dan diisi dengan progam yang boleh membawa kesedaran keagamaan dan kebaikan, maka saya masih berpendapat ia adalah HARUS kerana ia termasuk di bawah umum kelebihan majlis ilmu.
Justeru, sambutan tahun baru menurut adat setempat adalah HARUS DENGAN SYARAT berdasarkan penerimaan Islam terhadap adat yang tidak bercanggah dengan Islam. Kaedah Islam yang menerima adat seperti ini adalah " Al-‘Adat Muhakkamah"
Ertinya : "Adat yang tidak bercanggah dengan Syara' boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan". (Rujuk Al-Madkhal al-Fiqhi Al-‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/885 ; Syarh alQawaid al-Fiqhiyyah, Syeikh Ahmad Az-Zarqa, ms 219).

Terdapat satu keadah lain berbunyi : " Innama tu'tabaru al-‘Adat iza attaradat aw ghalabat" Ertinya : Sesungguhnya diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan dan dilakukan oleh majority". (Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Ali Ahmad An-Nadawi, ms 65)

* Tiada percampuran rambang lelaki dan wanita yang bukan mahram yang dikebiasaan membawa kepada maksiat. Bagaimanapun, syarat ini hampir mustahil untuk dijaga pada zaman ini kecuali jika dianjurkan oleh badan agama yang disertai mereka yang mempunyai ilmu agama yang baik dan bukan terbuka sebagaimana sambutan besar-besaran umum. Tatkala itu, sambutan akan menjadi haram jika syarat ini tidak dijaga.

* Tidak dicampur adukkan dengan hiburan-hiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam. Seperti lagu-lagu memuji muja kekasih, wanita, arak. Tidak kira samada ianya lagu biasa atau nasyid (terutamanya dengan kebanjiran kumpulan nasyid hari ini tersasar dari tujuan asal mereka sehingga memperkenalkan lagu-lagu memuji-muja wanita sebagai kekasih).

* Kandungan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan kehendak syara'. Majlis sambutan tahun baru dengan penganjuran majlis ilmu sebagai mengambil sempena cuti umum adalah diharuskan pada pandangan saya.
Sekian

Dipetik Daripada :
www.zaharuddin.net

Tuesday, November 16, 2010

Pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. Penghayatan Buat Pejuang PAS

Adil Adha berkunjung lagi. Umat Islam tidak mengira tempat, darjat, warna kulit dan bangsa akan menyambutnya hari ini. Aidl adha atau dipanggil juga dengan Hari Raya Korban adalah mengambil ukuran berdasarkan peristiwa pengorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s. dengan anaknya Nabi Allah Ismail a.s. Sirah menerangkan kepada kita bagaimana seorang hamba yang begitu taat kepada Khaliknya sanggup melakukan apa sahaja hatta menyembelihkan anak yang sayanginya. Nabi Ibrahim a.s. yang telah sekian lama menunggu kelahiran seorang anak melalui perkahwinan poligami yang sangat ditentang oleh masyarakat berjiwa liberal kini, telah diuji seawalnya supaya meninggalkan anak yang hampir dilahirkan oleh isteri tercinta iaitu Siti Hajar.

Pengorbanannya bagi membuktikan kesetiaan kepada Al Khalik tidak terhenti sampai disitu. Anak yang telah ditemuinya setelah dewasa yang ditinggalkannya semasa hampir bersalin itu diarah oleh Allah didalam mimpinya yang benar supaya disembelih. Atas sifat sebagai hamba yang patuh lalu dengan berat hati mimpi diceritakan kepada anak kesayangan. Makin hebat pengorbanan dua beranak ini bilamana tidak terpancar walau sedikit diwajah si anak yang taat kepada Allah sebagai pencipta dan kepada bapa sebagai seorang Nabi dan Rasul riak takut dan gelisah. Malahan ucapan agung sebagai seorang rasul tersembur keluar dicelahan gigi dan bibir lembut dengan katanya "Segerakanlah wahai ayahku andai ini adalah arahan Allah. InsyaAllah kamu akan dapati aku daripada orang-orang yang sabar".

Dua pengorbanan agung ini sepatutnya menjadi idola kepada semua pejuang islam. Sirah disusun dan ditulis bukan hanya untuk bacaan dan perhiasan semata-mata dan tetapi sebagai pedoman dan panduan. Sirah nabi Allah Ibrahim dan anaknya Ismail ini cukup memberi peringatan dan pengiktibaran kepada kita bahawa tugas dan amanah dalam perjungan menegakkan agama Allah perlu dikedepankan daripada semua hal. Apatah lagi soal sayangkan anak dan harta benda. Sebagai umat Islam apatah lagi sebagai orang yang mengaku diri adalah pejuang Islam, kita tidak mempunyai banyak pilihan. Kita juga tidak perlu membuat cabutan yang mana didahulukan dan yang mana dikemudiankan. Sebabnya pilihan yang utama bagi kita ialah berkorban apa saja demi melihat Islam menang. Tidak timbul tersepit dalam membuat pilihan andai pertembungannya antara kepentingan Islam sebagai Addin yang di redhai Allah dengan kepentingan sendiri atau kepentingan dengan makhluk.

Sememangnya, untuk memenangkan Islam kita terpaksa berhadapan dengan berbagai mihnah, tribulasi dan fitnah. Dan berdepan dengan semua inilah yang memerlukan kita untuk sentiasa bersiap siaga dalam berkorban apa saja samada harta ataupun nyawa. Matlamat akhirnya ialah Islam menang dan kita sendiri yang pasti akan memperolehi kemenangan dari Allah samada di dunia dan yang istimewanya kemenangan tersebut akan kita kecapi di akhirat kelak. Yakin dan percayalah setiap apa yang kita korbankan demi perjungan Islam ini akan mandapat balasan yang setimpalnya oleh Allah di akhirat kelak. Letakkan kayakinan kita kepada Allah dengan keyakinan yang tuntas tanpa goyah sebagaimana keyakinan dan kesabaran nabi Allah Ibrahim a.s. dan nabi Allah Ismail a.s. Semoga seluruh pejuang parti Islam Semalaysia (PAS) mempunyai tekad dan semangat yang sama iaitu untuk melihat Islam menang dan Islam diamalkan secara syumul di bumi malaysia ini. PAS menang, Islam di martabatkan.

Akhir sekali uacapan Selamat menyambut hari raya Aidil Adha kepada seluruh Saff kepimpinan PAS pusat dan negeri Sabah. Khususnya kepada semua pengundi di DUN Sukau. Ayuh! sama-sama kita menghayati nilai pengorbanan yang sebenar dan kita laksanakan dalam perjuangan ini supaya akhirnya Islam kita mampu martabatkan di DUN Sukau. Kemenagan PAS insyaAllah kemenangan Islam.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA 1431H. Daripada PAS kawasan Kinabatangan, Sabah.