Pages

Monday, February 28, 2011

Merlimau dan Kerdau. Ujian Untuk Pas Sebelum Ke Puterajaya

Hari yang ditunggu-tunggu oleh semua pemerhati politik tanahair telah berlalu iaitu penamaan calon bagi 2 PRK N28 Kerdau, Pahang dan N27 Merlimau, Melaka. Kedua-duanya memperlihatkan pertandingan 2 penjuru antara PAS sebagai jemaah yang benar-benar istiqamah memperjuangkan Islam dengan UMNO yang kononnya memperjuangkan hak-hak orang melayu.

Di N28 Kerdau, pas mempertaruhkan calonnya seorang usahawan berjaya iaitu Hj Hassanudin Salim yang akan menentang Calon Umno Syed Ibrahim Syed Ahmad. Manakala di N27 merlimau calon Pas Yuhaizad Abdullah akan berdepan dengan calon Umno iaitu Roslan Ahmad yang merupakan seorang AJK Umno bahagian Jasin.

Pertarungan yang berlangsung akan mengambil masa 10 hari ini iaitu yang akan berakhir sehingga pukul 5 petang 6 Mac telah memperlihatkan satu kempen yang terlalu berat sebelah. Seperti biasa dalam PRK yang sebelumnya Umno dengan tidak rasa malu dan bersalah telah menggunakan seluruh jentera kerajaan bagi tujuan kempen mereka. Media yang dekat dengan rakyat seperti RTM dan TV3 dipergunakan dengan optimumnya oleh mereka sehinggakan penulis sendiri terasa seperti RTM atau TV3 itu hak mutlak Umno. Penulis sendiri yang memang telah merasa terlalu meluat dengan media ini terasa seperti jumud dan bekunya pemikiran rakyat apabila dipaparkan keburukan pembangkang seperti tiada satupun kebaikan pada mereka, sedangkan dipamerkan semua yang baik diperlakukan oleh Umno seperti meraka terlalu maksum. Sehingga ada juga ahli Umno yang tegar menyebutkan, "RTM ni, seperti semua yang pembangkang buat salah, sedangkan Umno semua baik."

Terkini di merlimau, diadakan perhimpunan guru-guru seluruh malaysia bagi sekolah-sekolah yang menerima anugerah sekolah cemerlang. Bukan anugerah yang penulis pertikaikan, akan tetapi, kenapa didakan di merlimau. Adakah kalau seandainya tidak berlaku PRK di merlimau Menteri Pelajaran akan adakan majlis itu di sini. Satu lagi penyalahan gunaan kuasa oleh Umno berlaku. Kalau difikirkan, bagi pengundi di merlimau, apa untungnya anugerah ini kepada mereka.

Apapun, dua PRK ini akan menjadi ujian getir bagi Pas sebagai sebuah parti yang membawa Islam sebagai asas perjuangan. Kita mesti kembali kepada sabda Nabi, "Suatu yang batil tetapi berstrategi akan dapat mengatasi sesuatu yang benar tetapi tidak berstrategi". Ini asasnya dan inilah yang perlu kita fikirkan bersama kemudian rancang dan atur sebagai resepi utama untuk menawan Putrajaya.

Kita memang telah sedia maklum akan kejahatan dan kebobrokan Umno melalui penasihatnya APCO. Meraka sudah pasti akan membuat perancagan yang maha jahat bagi PRU13 nanti. Apakah kita hanya sekadar melihat penipuan meraka atau kita atur strategi sendiri bagi mengatasinya. Inilah yang seharusnya kita buat dan laksanakan. Jangan lagi ada kekeruhan dalam jemaah islam ini. jangan lagi ada ketidak puasan hati dalam jemaah ini. jangan lagi ada suara-suara mengkritik buta tanpa asas dalam jemaah ini. dari kita menabur debuan fitnah dan tohmah adalah lebih baik kita sama-sama fikirkan bagaimana cara mengatasi taktik dan strategi jahat Umno melalui APCO.

Inilah masanya kita mengaut seribu pengalaman setelah Allah memberikan kepada kita peluang melalui PRK Kerdau dan Merlimau. Kutip dan kendung mutiara berharga melalui dua PRK ini walau kita tidak memperolehi kejayaan padanya.

Perlu diingat, kegagalan dalam pilihanraya bukan kegagalan bagi sebuah pejuangan Islam tetapi kejayaan apabila kita mampu menerapkan dan menyerap sesuatu yang berharga padanya. Sebagaimana Cikgu Mala berjaya menerapkan tentang hukum haramnya bagi seorang perempuan Islam bersalaman dengan lelaki yang bukan muhrim baginya. inilah kejayaan bagi Islam. Dan ini lebih bermakna dan lebih berharga tetapi kemenangan dan memperolehi kuasa seterusnya membina sebuah negara Islam adalah jauh lebih berharga.

Oleh itu, ayuh pejuang-pejuang Parti Islam. Gemblingkan semua tenaga yang ada bagi kita sama-sama memenangkan parti islam dan seterusnya yang paling penting agama Islam itu sendiri. kita juga wajib bercita-cita untuk melihat Malaysia aman dan makmur sebagai sebuah negara yang baik dengan Allah sebagai Tuhan yang maha pengampun. jadikan kemennangan di Kerdau dan Merlimau sebagai asas bagi kita mengerakkan langkah yang lebih teratur untuk ke Putrajaya.

InsyaAllah. Islam sentiasa menang. Yakin dan percayalah.

Wassalamm...

Saturday, February 19, 2011

Kasihkan Rasulullah, Bagaimanakah?


Syukur kepada Allah yang masih lagi memberikan kepada kita nikmat Islam dan Iman serta usia yang panjang yang dengannya kita semua mampu untuk meraikan 12 rabiulawal untuk kali yang ke 1432. 12 rabiulawal mengikut pendapat yang paling soheh adalah tarikh kelahiran nabi kita Muhammad s.a.w. Sejarah sambutan maulidurrasul adalah diasaskan oleh kerajaan Fatimiah di Mesir. Walaupun ada berbagai pendapat tentang hukum merayakan maulidurrasul, tetapi ianya tidaklah diharamkan sepenuhnya dikebanyakan Negara umat Islam. Berbagai program dirancang dan dilaksanakan dengan tujuan untuk melahirkan rasa kasih kepada baginda Nabi s.a.w. Antara program yang selalu kita lihat bilamana sambutan maulidurrasul ini diadakan iaitu diadakan perarakan, diadakan bacaan marhaban, diadakan syarahan dan akhir sekali makan.

Benarkah semua ini diprogramkan sebagai tanda kasihkan Rasulullah? Benarkah dengan perarakan, marhaban, syarahan yang sekejap dan makan boleh melahirkan perasaan kasihkan rasulullah? Artikel ini bukan bertujuan untuk melarang diadakan sambutan maulidurrasul malahan penulis sendiri terlibat sama dalam mengadakan beberapa siri ceramah maulidurrasul tetapi yang nak dijelaskan disini bagaimanakah cara yang sebenarnya kita ingin melahirkan tanda kasih kita kepada baginda nabi s.a.w. yang bukan hanya pada 12 rabiulawal tetapi juga pada setiap waktu dan ketika.

Apa yang kita lihat, suasana sekarang menampakkan kita hanya menunjukkan nilai kasih dan sayang kita pada nabi hanya pada sambutan kelahiran nabi Muhammad S.A.W iaitu pada rabiulawal semata-mata. Ini kerana kita menghabiskan banyak duit ringgit dan tenaga demi perarakan, jamuan makan dan sebagainya. Apakah perarakan semata-mata boleh menunjukan nilai kasih kita kepada baginda nabi. Kalau perarakan dapat menunjukkan nilai kasih kita kepada nabi maka baik lagi Abu Lahab kerana gembiranya dia dgn kelahiran baginda nabi lalu berarak mengelilingi kaabah sebanyak 7 kali. Kalau jamuan sebagai tanda kasihkan nabi maka apa kurangnya abu lahab yang menyembelih 10 ekor unta sebagai tanda kelahiran baginda rasulullah. Begitu juga dengan marhaban dan berzanji yang dibaca dengan penuh lenggok dan gaya. Tapi apapun yang dibaca, langsung tak difahami oleh sesetengah orang. Mungkin syarahan ada juga sedikit nilai padanya kerana dapat memberi sedikit ilmu dan pengetahuan kepada yang hadir mendengar. Tapi mampukah kita melahirkan tanda kasih andai yang hadirpun ada yang tak bertudung. Kalau bertudungpun hanya menutupi jambul di depan sahaja.

Nabi bersabda dengan mafhumnya, “Barang siapa yang tidak mengikut sunnahku bukan daripada umat ku.” Inilah tanda aras kita tentang kasihnya kita kepada baginda Nabi S.A.W. Mengamalkan sunnah nabi adalah paling utama dalam kita menunjukkan kita kasihkan nabi. Apakah dengan kita menyambut maulidurrasul adalah sunnah nabi. Sudah tentu jawapan tegasnya adalah tidak. Sebabnya nabi tak pernah melakukan semua ini. Mengamalkan sunnah nabi pula bukan terpilih kepada apa yang memberi munafaat kepada kita semata-mata atau setiap apa yang dirasakan bersesuaian dengan keinginan kita. Tapi meliputi semuanya yang termampu kita amalkan. Bermula dari corak berpakaian yang paling senang kepada membina sebuah Negara. Adakah ini telah berjaya diamalkan oleh mereka yang menganjurkan sambutan maulidurrasul untuk menunjukkan tanda kasih kepada nabi? Apa yang penulis lihat disepanjang sambutan maludurrasul yang dianjurkan pakaian yang dikenakan tidak menepati sunnah. Pergaulan yang tidak berbatas antara lelaki dan perempuan. Ini peringkat yang agak mudah sebagai satu sunnah tetapi inipun semacam tak mampu dihayati untuk diamalikan.

Nabi Muhammad s.a.w. telah membawa bersamanya syariat Islam yang syumul. Bersamanya ada ibadat samada wajib ataupun sunat. Solat, ada yang wajib dan ada yang sunat begitu juga ibadat yang lain seperti puasa dan zakat. Nabi yang kita kasih telah bersusah payah membawa kepada kita Ibadat solat semasa Israk dan Mikraj. Nabi yang kita kasih juga semasa Rohnya yang mulia akan bercerai dengan badannya yang mulia itu sentiasa menuturkan “as-solah, as solah, as solah”. menunjukkan kepada umatnya akan kewajipan bersolat. Tetapi sejauhmana kita yang mengaku kasihkan nabi merasakan solat ini penting? Kita yang mengadakan sambutan maulidurrasul dalam suasana yang sangat gemilang ini, sejauh mana telah memperelokkan solat samada pada rukun Qauli. Fi’li atau Qolbi. Belum lagi kita membicarakan soal solat jemaah. Yang bukan hanya menjadi perkara yang wajib kifayah tetapi tidak pernah ditinggalkan oleh nabi s.a.w. Janganlah mengaku kitalah yang paling kasihkan nabi bila dengan gah menyambut maulidurrasul kemudian mempertikaikan sambutan orang lain yang tidak meriah andai solat jemaah tak mampu kita laksanakan walau hanya satu waktu sahaja. Ayuh yang kasihkan nabi, buktikan kita benar-benar kasihkan nabi sebagaimana Nabi terlalu sayangkan umatnya. Ini jelas dan nyata apabila disaat roh sampai di kerongkong Nabi masih lagi menyebut “Ummati, Ummati”. Dan disaat pedihnya sakaratul maut nabi sempat berdoa supaya umatnya tidak terlalu pedih, sakit dan payah semasa sakaratul maut. Buktikan kasih kita dengan kita mengamalkan sunnah nabi setakat yang termampu, amalkan segala yang diwajibkan dan tinggalkan segala apa yang dilarang. Selalu berselawat kepada Nabi kerana dengannya kita yang memperolehi nikmat dari selawat tersebut. Sekali sahaja dalam kemalasan kita Allah akan berselawat kepada kita 10 kali.

Semoga sambutan maulidurrasul yang akan datang lebih bermakna dan bernilai serta lebih menaikkan nilai kasih yang sebenar kita kepada nabi s.a.w dengan kita mengamalkan segala sunnahnya, melakukan segala yang diwajibkan serta meninggalkan segala apa yang telah dilarang.

Wallahu a’lam.
Semoga kita semua mendapat syafaatdaripada Nabi Muhammad s.a.w. di akhirat nanti.